“Apabila berfikir menjadi suatu jenayah,
Hanya perlu mengambil tafsiran cendiakawan berjubah,
Ia suatu yang haram bagi awam,
Lalu keilmuan pun tenggelam karam.
Apabila mimpi digari,
Kemajuan apa yang boleh di cari,
Apabila idea dipenjara,
Bangsa mati penuh sengsara.”
Puisi ini boleh di dapati di kulit belakang buku saya, namun tulisan ini bukanlah untuk tujuan promosi buku. Sekiranya anda sedang mencari bahan bacaan, saya cadangkan anda mencari buku-buku tulisan Chomsky. Sekadar mahu menjelaskan tulisan yang bersembunyi disebalik ayat abstrak.
Jika kita membaca discourse berkenaan social justice kita sering akan berjumpa dengan terma “class society”, yang membawa maksud wujudnya sekumpulan elit yang berkuasa menentukan bagaimana manusia biasa lain hidup – rakyat kebanyakan. Kelas elit mempunyai kuasa ekonomi, politik, taraf sosial yang lebih tinggi, mereka menentukan polisi. Classical proletariat vs bourgeoisie.
Dalam kehidupan seharian kita juga, sama ada kita sedar atau tidak, kita mempunyai kelas elit intelektual. Yang menentukan bagaimana manusia lain berfikir. Mereka sering dipanggil expert, mempunyai autoriti untuk memberi definisi, dimana definisi berlawanan adalah salah, tidak tepat, kolot, anti-moden dan lain-lain.
Mungkin kalau dalam studi berkenaan orientalisme kita bercakap bagaimana kita memahami kebudayaan timur mengikut definisi dan analisa barat, begitu jugalah kita, sentiasa memerlukan kelas intelektual untuk memberi kita definisi berkenaan dengan aturan sosial, tatacara politik, susunan ekonomi dan lain-lain. Mereka meletakkan pagar sempadan pemikiran.
Saya teringat kata-kata ahli ekonomi di Cambridge, Ha-Joon Chang dalam syarahan beliau, beliau menyebut “95% of economics is common sense”.
Kelas intelektual yang saya maksudkan bukanlah spesifik kepada ahli akademik atau agamawan, tetapi terbuka kepada mana-mana persona yang menutup ruang fikir, termasuk saya sendiri. Persepsi minda yang saya ingin bawakan adalah bukan untuk menolak golongan intelektual, tapi berani berfikir meskipun berlawanan dengan autoriti. Kerana sering kali kita menerima kesimpulan kerana kita tidak faham hujahan, kita terima dan berkata “dia betul, aku yang terlalu bodoh untuk faham”.
Sebaliknya apa yang saya ingin bawa adalah kita mendengar hujahan baik dari orang yang bergelar intelektual atau tidak, dan berfikir sendiri kebenarannya, adakah ia masuk akal atau tidak. Bukan percaya buta orang dengan semua yang diberikan kepada kita hanya kerana dia mempunyai tag intelektual. Akal itu bukan milik eksklusif mana-mana kelas, ia adalah anugerah buat semua.
Untuk membina bangsa yang berjaya, ilmu tidak boleh bersifat eksklusif.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.