Hampir kesemua ekspedisi pelayaran Sepanyol pada kurun ke-15 adalah dengan satu tujuan khusus iaitu untuk mencari emas dan perak. Ini disebabkan emas dan perak adalah begitu penting dan berharga pada ketika itu kerana ia adalah sumber utama dalam penghasilan matawang, yang mana merupakan dasar sistem monetari Eropah.
Matawang asas Sepanyol adalah “8 reales piece” atau dikenali sebagai “peso”. Matawang ini diterima dengan meluas di Eropah disebabkan kandungan perak yang tinggi. Penerimaan ini sangat penting untuk Sepanyol kerana mereka tidak mempunyai industri ekonomi sendiri dan hanya bergantung kepada produk-produk dari negara-negara Eropah yang lain. Ini menjadikan emas dan perak yang dilombong oleh Sepanyol di Amerika tersebar luas ke benua Eropah dan secara tidak langsung memberikan impak kepada ekonomi global.
Kawasan jajahan Sepanyol di Dunia Baharu menjadi sumber terbesar dunia bagi logam berharga ini. Justeru, Sepanyol telah memperkenalkan satu polisi yang menghadkan kawasan jajahan Sepanyol di Amerika hanya boleh berdagang dengan kapal dagang Sepanyol. Memandangkan masyarakat dibawah kawasan jajahan ini bergantung kepada pedagang Sepanyol untuk keperluan asas seperti makanan, alatan, haiwan ternakan dan senjata, monopoli perdagangan Sepanyol menghasilkan keuntungan yang besar.
Monopoli Sepanyol di Dunia Baharu ini telah telah menjadi punca utama ketegangan antara Sepanyol dan negara-negara Eropah yang lain. Perancis misalnya, memandang kekayaan ini sebagai satu peluang yang tidak boleh diketepikan dan mula menyerang kapal Sepanyol dengan mengupah kapal persendirian yang telah diberikan lesen oleh kerajaan Perancis. Harta yang berjaya dirampas akan dibahagikan antara kapal persendirian tersebut dan kerajaan Perancis. Dengan menggunakan sistem ini, Perancis dan kemudiannya diikuti oleh Inggeris dapat meraih kekayaan dari Dunia Baharu tanpa perlu menyerang kapal Sepanyol secara langsung. Untuk mengawal masalah ini, Sepanyol telah membentuk satu perancangan pertahanan untuk kapal mereka. Pada 1522, kerajaan Sepanyol telah menghantar armada laut nya ke Laut Atlantik untuk mengiringi kapal dagang Sepanyol. Khidmat armada laut ini dibiayai oleh kutipan cukai yang dikenakan kepada pedagang yang dilindungi.
Pada 1530, Sepanyol telah menguasai Empayar Inca yang kini dikenali sebagai Peru yang terkenal dengan kekayaan emas dan perak. Hal ini membuatkan Perancis mempertingkat usahanya dalam menyerang kapal dagang Sepanyol dengan memberikan lesen swasta kepada kapal-kapal persendirian yang membenarkan mereka untuk beroperasi jauh ke Lautan Atlantik, dan tidak lagi hanya menumpukan perhatian ke perairan berhampiran Sepanyol sahaja.
Pada tahun 1537, setahun selepas kapal persendirian Perancis berjaya menawan sembilan kapal dagang milik Sepanyol, beberapa kapal perang telah dihantar oleh kerajaan Sepanyol ke kawasan Caribbean untuk mengiringi kapal-kapal yang membawa barangan berharga ini pulang ke Sepanyol. Konvoi kapal dagang dan kapal perang ini dianggap sebagai armada harta karun yang sebenar. Sistem kapal dagang yang berlayar dalam kumpulan yang dilindungi oleh kapal perang membantu Sepanyol membawa pulang sejumlah besar harta karun. Pada 1545, Sepanyol berjaya menemukan deposit perak yang terkaya di benua Amerika yang terletak di kawasan pergunungan Peru. Penemuan ini dapat memastikan pertumbuhan empayar Sepanyol dan sekali gus membuatkan perak adalah logam paling berharga dan penting di benua Amerika.
Ketika aktiviti perdagangan Dunia Baru terus meningkat pada awal tahun 1550-an, Sepanyol menghadapi kesukaran dalam mencari kapal-kapal yang tidak hanya dapat membawa kuantiti yang banyak dan mampu untuk berlayar dengan baik, tetapi juga dapat menahan serangan dari kapal musuh. Galleon yang dianggap kapal terbaik pada waktu itu, menjadi kapal standard yang digunakan dalam armada harta karun Sepanyol. Kebanyakan galleon adalah kira-kira 100 kaki panjang dan 30 kaki lebar. Ia mempunyai tiga atau empat tiang layar, dua atau tiga dek, dan dua hingga tiga meriam. Walaupun galleon boleh membawa sejumlah besar kargo dan senjata, mereka sangat berat dan sukar untuk dikemudi. Kapal dagang yang dipanggil naos, yang pada dasarnya adalah seperti galleon tapi tidak dilengkapi senjata, merupakan sebahagian besar daripada armada yang membawa kargo, harta, dan penumpang. Kapal-kapal lain yang bergerak dalam armada termasuk patak, yang merupakan kapal kecil yang digunakan untuk berkomunikasi antara kapal, dan resfuerzos atau kapal bekalan yang membawa makanan dan kargo biasa.
Pada tahun 1560-an, sistem armada harta Sepanyol telah ditubuhkan dan dua armada utama dibentuk –Tierra Firme dan New Spain– yang belayar ke Dunia Baru setiap tahun. Adakalanya, kedua-dua armada ini akan meninggalkan Sepanyol pada masa yang sama sebagai satu armada besar, dan adakalanya berasingan. Mereka mengikut perjalanan yang sama ke Caribbean, dan seterusnya berpisah; armada Tierra Firme ke Amerika Selatan, manakala armada New Spain ke Mexico. Dalam perjalanan pulang ke Sepanyol, kedua-dua armada akan berjumpa kembali di Havana dan pulang sebagai satu konvoi armada yang besar.
Setiap armada terdiri daripada sekurang-kurangnya dua buah galleon bersenjata berat dan dua buah patache serta antara 10 dan 90 naos pedagang. Galleon terbesar, Capitana, membawa kapten yang mengetuai armada. Galleon yang lebih kecil, Almiranta, membawa laksamana armada. Oleh kerana kedua-dua kapal ini dilengkapi senjata yang hebat, mereka digunakan untuk membawa barang berharga kerajaan Sepanyol. Pada separuh kedua abad ke-16, sekurang-kurangnya 60 kapal bergerak dalam satu konvoi.
Pada pertengahan 1560-an, armada ke-3 yang dibentuk – Manila Galleons, mula berlayar antara kawasan jajahan Sepanyol di Filipina dan Acapulco yang terletak di pantai barat Sepanyol. Di Filipina, produk eksotik timur seperti rempah, porselin, sutera, dan gading dimuatkan ke kapal dan dibawa ke Acapulco. Barang-barang ini dikumpul di Veracruz di mana ia akan dibawa oleh konvoi armada laut Sepanyol. Walaupun perjalanan dari Manila ke Acapulco mengambil masa empat hingga lapan bulan dan dianggap navigasi paling sukar di dunia, namun keuntungan yang mereka perolehi adalah lebih besar daripada risiko yang dihadapi.
Menjelang tahun 1570, kira-kira lima juta peso logam berharga dibawa pulang ke Sepanyol setiap tahun. Perak menyumbang sekurang-kurangnya 95% daripadanya. Pada akhir abad ke-16, permintaan terhadap tekstil, senjata, kaca, dan kertas oleh penduduk di kawasan jajahan Sepanyol meningkat tinggi. Oleh kerana Sepanyol tidak menghasilkan barang-barang ini dalam kuantiti yang banyak, para pedagang terpaksa membeli lebih banyak produk asing untuk dihantar ke jajahan Sepanyol ini. Faktor Ini menjadikan Sepanyol lebih bergantung pada harta dari Amerika.
Sistem armada harta Sepanyol mencapai tahap kemuncak di antara tahun 1590 dan 1600. Dalam tempoh ini, kira-kira 16 juta peso logam berharga dibawa ke Dunia Baru setiap tahun. Tetapi, pada abad seterusnya, sistem ini mulai mengalami penurunan secara perlahan-lahan. Perselisihan mengenai agama, wilayah, dan perdagangan menyebabkan Sepanyol menghadapai pelbagai peperangan dengan pihak Inggeris, Belanda, dan Perancis. Armada harta sentiasa menjadi sasaran utama bagi musuh-musuh Sepanyol. Ketegangan perang yang memuncak dan kekurangan barangan dan kapal membuatkan Sepanyol sukar untuk mengekalkan jadual pelayaran tahunan. Disebabkan hutang Sepanyol yang semakin meningkat, lombong-lombong di kawasan jajahan mula menghasilkan kurang perak dan emas dan serangan terhadap kapal meningkat, negara-negara Eropah yang lain mula menjajah Caribbean. Ekonomi Sepanyol semakin merudum. Contohnya seperti industri pembuatan kapal. Menjelang pertengahan abad ke-17, lebih daripada dua pertiga kapal-kapal Sepanyol dibina di negara-negara asing. Pada masa ini, purata bilangan kapal dalam sebuah armada telah jatuh menjadi 25 buah kapal sahaja.
Selepas tahun 1700, terdapat sedikit peningkatan dalam sistem armada harta Sepanyol. Faktor utama adalah kerana kawasan jajahan Sepanyol mula membeli barangan dari peniaga Inggeris, Belanda, dan Perancis pada harga yang lebih murah. Akibatnya, permintaan barangan dari kapal-kapal harta Sepanyol menurun, dan monopoli dagangan Sepanyol menjadi lemah. Peperangan dengan Belanda dan Inggeris pada awal abad ke-18 juga telah menimbulkan ketegangan yang lebih besar. Sepanjang tempoh ini, armada kecil berlayar secara sporadis dan kadang-kadang tidak berlayar langsung. Kehilangan kapal-kapal akibat taufan pada 1715 dan 1733 merupakan faktor lain yang menyumbang kepada permasalahan ini. Pada tahun 1760-an dan 70-an hanya enam armada yang belayar ke Veracruz. Sistem armada harta Sepanyol berakhir sepenuhnya pada tahun 1778 apabila Sepanyol mengisytiharkan polisi perdagangan bebas di seluruh kawasan jajahan mereka di Amerika. Kapal-kapal mula berlayar ke Amerika secara persendirian.
Walaupun dominasi Sepanyol terhadap Amerika sudah berakhir, namun ia meninggalkan warisan yang berkekalan. Dari abad ke-16 hingga abad ke-18, lombong-lombong Sepanyol di Mexico dan Amerika Selatan menghasilkan lebih daripada 4 bilion peso logam berharga. Ini bersamaan 80 peratus daripada pengeluaran perak dunia, dan 70 peratus emas pada masa itu menjadi mata wang antarabangsa yang diterima dengan meluas.
Sumber : The Spanish Treasure Fleet, Timothy R. Walton
Related Posts
Part time independent writer and podcaster from Northern Malaysia.
Fisher Price says
Greate post. Keep writing such kind of information on your page. Im really impressed by it.
Edmund Rumfelt says
It’s difficult to find experienced people on this topic, but you seem like you know what you’re talking about! Thanks
yogurt says
thank you web site admin
fuck you nike says
I appreciate you sharing this blog article. Much obliged.