Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin ada menyebut:
“Agama tidak berpihak pada ustaz tidak berpihak pada mufti tidak berpihak pada parti tidak berpihak pada mazhab. Agama berasaskan Al-Qur’an dan Sunnah. Kalau orang bawah bangkit berdiri dia bagi hujah betul, sekali pun mufti, salah tetap salah” (1)
Di atas asas ini saya ingin berbeza pendapat dengan Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan dalam Bayan Linnas Siri Ke-126 (2) berkenaan dengan hukum undi rosak. Saya hormati institusi mufti, dan merasakan dalam banyak perkara Mufti Wilayah banyak terkedepan membantu membina pendapat yang adil bagi ummat Islam di Malaysia. Namun, untuk isu ini, saya mohon berbeza pendapat.
Pertamanya berkenaan dengan undi bukan merupakan satu hak ia adalah tanggungjawab untuk melaksanakan perlembagaan dan undang-undang. Hujah ini agak pelik kerana ia bercanggah dengan kenyataan peguam yang kepakarannya adalah dalam perlembagaan. Peguam perlembagaan, Syahredzan Johan dalam kenyataannya kepada The Star (3) berkata undi rosak adalah sebahagian daripada proses demokrasi. Malah beliau menambah tiada undang-undang yang menghalangnya.
Kemudian fatwa tersebut berbincang berkenaan dengan kewajipan memilih pemerintah. Namun pendapat-pendapat yang dipilih dalam penghujahan hanya menyentuh hukum memilih pemerintah secara umum. Kita menerima pandangan ini, bahawa ia wajib. Namun, ia tidak membincangkan adakah hukum yang sama terpakai jika pemimpin yang hendak dipilih itu korup, kleptokrat, anti-Islam, atau bekas diktator. Adakah hukum yang sama terpakai? Beliau memetik fatwa Dr Yusuf al-Qaradhawi. Namun apa yang tidak disebut adalah Dr Yusuf al-Qaradhawi pernah mengharamkan pilihanraya ketika rakyat tidak diberi pilihan pemimpin yang baik. Beliau pernah mengeluarkan pendapat agar rakyat Mesir tidak keluar mengundi jika pilihannya hanyalah pemimpin yang menindas rakyat. (4)
Dr Rajab Abu Malih pensyarah di Universiti Insaniah pernah menyebut “Dalam isu politik syariah, tidak ada satu kaedah yang terbina atas ke’tsabit’an (hukum yang tiada perbezaan pendapat), tetapi berdasarkan maqasid atau maslahat”. Jadi dalam isu pengharaman undi rosak ini, ia tidaklah haram secara qat’ei tapi haram mengikut ijtihad mufti wilayah sahaja. Perbezaan pendapat adalah dibenarkan.
Dalam Al-Qur’an sendiri ada kisah-kisah seperti kisah Ashabul Kahfi (5), yang mana segolongan pemuda mengasingkan diri apabila mereka tidak mampu mengubah pemimpin yang zalim. Maka ketika rakyat tidak mempunyai pilihan yang baik, ruang untuk berkecuali perlulah dibuka, tidak wajar di haramkan. Dalam sejarah Islam juga, ketika berlaku fitnah dan kekeliruan di kalangan pemimpin semasa Perang Jamal dan Perang Siffin, ada dalam kalangan para sahabat yang berkecuali, tidak mahu menyokong mana-mana pihak seperti Abdullah ibn Umar dan Abdullah bin Abbas (6). Maka apakah mereka berdosa dan telah melakukan perkara yang haram kerana tidak menyokong mana-mana pemimpin? Semestinya tidak. Berkecuali adalah ruang yang diperuntukkan oleh Islam. Dalam beberapa situasi ia lebih sejahtera.
Apa yang menarik ialah apabila sistem yang melantik pemimpin-pemimpin yang bermasalah ini terancam. Semua organ propaganda di gembleng untuk memaksa rakyat menerima pilihan yang diberikan. Seolah-olah rakyat mempunyai pilihan. Kesemua parti, kecuali mungkin PSM, keluar membuat sidang media, mengeluarkan kenyataan untuk menyelamatkan sistem ini. Semua instrumen propaganda digunakan, baik media, NGO, pihak agama, agar rakyat terus memelihara sistem ini dan mengekalkan kuasa mereka. Dalam situasi rakyat tidak punyai pilihan, dipaksa memilih antara pilihan-pilihan yang intinya sama hanya bendera yang berbeza, maka untuk berkecuali, tidak mengundi atau membuat undi rosak bukanlah sesuatu yang haram bahkan ia rahmat.
Rujukan:
(1) Mohd Asri Zainul Abidin. Bahaya guna Islam sebagai alat parti politik. 25 Julai 2017. Link
(2) Zulkifli bin Mohamad al-Bakri. Bayan Linnas Siri Ke-126 : Hukum merosakkan undi. 12 Febuari 2018. Link
(3) Spoiling votes part and parcel of democratic process, say lawyer. The Star, 24 Januari 2018. Link
(4) Influential cleric Qaradawi urges Egyptians to boycott elections. Reuters, 25 Mei 2014. Link
(5) Al-Qur’an. Surah Al-Kahfi: Ayat 10-29. Link
(6) Ustaz Fathul Bari Mat Jahya. Meluruskan sejarah pertelingkahan para sahabat: Perang Jamal & Perang Siffin (Bahagian 3). 2 April 2013 Link
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.
Leave a Reply