Milton Friedman adalah ahli ekonomi yang membantu membuka negara lain untuk menerima teori ekonomi open market, yang membolehkan syarikat Amerika masuk ke negara-negara lain. Antara aksiom Friedman dalam teori perubahan adalah keperluan kepada krisis atau ‘shock’. Hanya krisis, sama ada benar-benar terjadi ataupun hanya persepsi akan membawa perubahan dalam masyarakat.
Malaysia hampir mencapai tahap krisis yang boleh mengubah kerajaan dengan skandal korup 1MDB. Tetapi perubahan berjaya di elakkan, dan ramai yang kecewa. Antara sebab ia gagal adalah kepantasan kerajaan untuk mengawal persepsi, merombak kabinet dan mencantas sesiapa yang berupaya mencipta perubahan. Ia adalah antara applikasi teori asas klasik dalam mengekalkan kuasa seperti mana yang ditulis oleh Machiavelli dimana ‘rebellion’ perlu dikawal pada permulaan dan tidak boleh dibiarkan merebak.
Sebab kedua pada kira saya adalah kerana kegagalan pembangkang mencipta ‘persepsi’ dalam masyarakat bahawa ia adalah krisis. Skandal 1MDB sememangnya contoh salah urus yang memalukan, tetapi ia tidak mencapai tahap dimana ia menjadi krisis atau negara boleh bankrap. Ini adalah pendapat kebanyakan ahli ekonomi terhadap keadaan makro-ekonomi negara. Namun ekonomi Malaysia tidaklah sempurna, dari segi mikro-ekonomi, kita masih bermasalah. Sebab itu kita masih ada orang miskin, tak cukup makan, walaupun statistik GDP meningkat. Jadi retorik dan propaganda negara mahu bankrap sukar dipertahankan ketika keadaan makro-ekonomi sedang pesat dan berkembang. Yang patut diketengahkan dan di-propagandakan adalah mikro-ekonomi seperti pembahagian kekayaan.
Agenda propaganda pembangkang juga bermasalah dengan penamaan calon perdana menteri. Dari sudut pandang keberkesanan propaganda, ia adalah strategi yang tidak strategik. Pembangkang terpaksa berubah dari offensive kepada defensive, tenaga kerja yang sedikit terpaksa digunakan untuk mempertahankan diri daripada menerangkan pelan pemerintahan alternatif. Apparatus propaganda kerajaan yang lebih besar mudah menggunakan peluang ini.
Dalam usaha mempertahankan diri, pembangkang kini mempunyai lompong besar dalam usaha berhujah dengan logik intelektual dan rasional. Rata-rata diskusi dan ceramah cuba menafikan nilai sejarah. Dipujuk rakyat supaya tidak dikenang sejarah tetapi perlu pandang ke depan. Argumen ini sangat lemah kerana sejarah merupakan pengalaman kolektif masyarakat yang penting untuk membuat keputusan di masa hadapan. Howard Zinn dalam tulisannya mengibaratkan masyarakat yang tidak belajar dari sejarah ibarat bayi yang baru lahir, tidak mempunyai memori dan mudah ditipu.
Jika dahulu kita dengar hanya pihak kerajaan yang menggunakan penjawat agama sebagai alat untuk memberi cop halal kepada tindak tanduk mereka. Namun hari ini kita melihat kem pembangkang menggunakan sabda-sabda yang sama. Seorang ustaz dari pantai timur dilantik menjadi pegawai penerangan agama di sebuah negeri mula mengeluarkan sabda-sabda nya mengkritik parti Islam yang tidak secocok dengan kem mereka. Dahulu dituduh sebelah pihak menggunakan agama, kini mereka juga tiada bezanya. Menggunakan agama sebagai alat politik dan percaturan kuasa bukan lah perkara baru, ia adalah praktis dalam sejarah yang panjang. Kita membaca buku Graham E. Fuller bekas agent CIA yang menulis buku ‘A World Without Islam’, dimana beliau menganalisis bagaimana perang dan pergelutan politik tetap akan berlaku sekiranya agama dikeluarkan dari equation perebutan kuasa. Sebab itu tidak pelik jika sabda politik mengharamkan sesuatu hari ini dan menghalalkan nya semula esok.
Dikala kita berenang merentasi sabda politik dan propaganda ini, kita akhirnya sampai ke satu titik dimana kita dipaksa membuat pilihan. Ramai dikalangan rakyat yang termakan dengan apa yang disuap kepada mereka tidak kira dari kem mana sekalipun. Mereka akhirnya keliru dan berputus asa, mereka akhirnya menerima bahawa politik tetap politik dan kita perlu memilih mudharat yang lebih kecil. Kita tidak ada pilihan kecuali menjatuhkan rejim dan menaikkan rejim baru yang berwajah berbeza dengan isi yang sama.
Namun masih ada segelintir rakyat yang masih waras. Mereka faham bahawa politik bukanlah hanya tentang parti apa yang dipilih, politik bukan hanya bermakna pilihan raya, dan tanggungjawab rakyat bukan sekadar mengundi. Di kala minda mereka disuap dengan pelbagai propaganda dan sabda-sabda politik, mereka sedar bahawa tugas mereka di kala tiada pilihan yang benar-benar mampu membawa perubahan, bukan dengan menyerah kalah dan akur mengikut sistem. Tetapi meneruskan perjuangan panjang mendidik masyarakat, bahawa politik lebih dari sekadar individu-individu yang perlu kita berikan undi. Mereka percaya bahawa nafas baru masih ada, dan mereka enggan tunduk dan memberi undi. Biar apa pun kata-kata yang dihambur pada mereka, mereka terus kekal dalam keazaman meninggalkan propaganda politik lama.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.
Leave a Reply