Oleh: Mohd Solmi Ahmad Sofi
Disaat kita memperkatakan berkaitan Hari Kemerdekaan Negara yang disambut setiap tahun pada 31 Ogos, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat individu mahupun kumpulan selain daripada Tunku Abdul Rahman yang turut memberikan sumbangan terhadap hari yang bersejarah ini. Walaupun nama-nama mereka tidak besar dan tidak diabadikan dalam mana-mana buku sejarah, namun mereka juga beperanan penting di belakang Tunku Abdul Rahman.
Salah seorang dari mereka ialah bekas pemandu peribadi Tunku iaitu, R. Kalimuthu. Beliau yang lebih dikenali sebagai Muthu telah berkhidmat lebih 50 tahun dengan perdana menteri pertama. Beliau mula bertugas sebagai pemandu rasmi kepada Tunku pada tahun 1957 dan memperolehi pendapatan tetap sekitar RM400 sebulan.
Sebelum itu, Muthu hanya bekerja sebagai pemandu kenderaan secara sambilan sewaktu Tunku bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia di Kuala Lumpur pada tahun 1948.
Dalam satu temubual bersama Muthu pada tahun 2010 (ketika itu beliau berusia awal 85 tahun) beliau memaklumkan “Saya rasa bangga kerana pada malam 30 Ogos 1957 (sehari sebelum 31 Ogos) sayalah yang memandu kenderaan untuk membawa Tunku dan keluarga ke Padang Kelab Selangor (sekarang dikenali sebagai Dataran Merdeka) untuk majlis menurunkan bendera Union Jack sebagai tanda rasmi bahawa negara ini bebas dari dijajah.”
“Saya masih dapat membayangkan dimana ribuan rakyat pelbagai lapisan masyarakat dan umur berada di sekitar Padang Kelab Selangor itu dan mereka bersorak gembira sebaik sahaja melihat ketibaan kenderaan yang membawa Tunku” ujar Kalimuthu sambil tersenyum.
Esoknya pula, pada sebelah pagi, Muthu sekali lagi memandu kenderaan rasmi untuk membawa Tunku ke Stadium Merdeka. Tunku kelihatan segak memakai baju melayu serba lengkap dan berjabat salam dengan semua tetamu kenamaan selain kerabat-kerabat diraja.
Setiap kali apabila berpeluang menonton di televisyen program ulangsiar sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 itu, Muthu menyatakan beliau akan menangis kerana teringat kenangan lama semasa bekerja dahulu selain dapat menyaksikan peristiwa bersejarah negara.
Muthu juga tidak melupakan kenangan dimana pernah bertugas menjadi pemandu kepada Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak jika Tunku Abdul Rahman ke luar negara atau bercuti panjang.
Berdasarkan pengalaman berkhidmat dengan Tunku selama lebih 50 tahun itu, Muthu banyak mempelajari berkaitan adat istiadat masyarakat Melayu terutama tentang adat istiadat diraja Kedah. Selepas bersara secara rasmi pada tahun 1982, Muthu masih bertugas secara sambilan sehingga Tunku Abdul Rahman mangkat pada Disember 1990. Kemudian tugas sebagai pemandu kepada keluarga Almarhum Tunku diambil alih oleh anaknya, K. Markandran.
Satu lagi peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh Kalimuthu adalah pada tahun 1982 semasa beliau dapat menyelamatkan Almarhum Tunku Abdul Rahman dari terjatuh terlentang di atas beberapa batu kerikil di tepi pantai berdekatan rumah rehat milik keluarga diraja itu di Pantai Batu Feringghi. Ujar Kalimuthu “Masa itu hanya saya dengan Almarhum Tunku sedang berjalan sambil menikmati suasana angin petang dan apabila Tunku secara tiba-tiba tergelincir lalu hampir jatuh tapi nasib baik saya dapat menyambar tangan Almarhum” jelasnya.
Tambah Kalimuthu, sepanjang perkkhidmatannya, beliau sangat menghormati Almarhum Tunku yang disifatkan sebagai seorang negarawan ulung dan meskipun rutin hariannya yang agak sibuk dengan pelbagai urusan rasmi negara, Almarhum Tunku tetap mencari masa untuk bersama dengan keluarga atau bermain golf.
“Almarhum Tunku juga dilihat sebagai seorang majikan yang sentiasa mengambil berat tentang kebajikan para pekerjanya. Saya antara insan bertuah kerana dapat berdamping dengan Almarhum. Semua kenangan itu akan sentiasa tersemat dalam memori saya” ujar Kalimuthu.
Menurut laporan dari sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris bertarikh 25 November 2013, R. Kalimuthu telah meninggal dunia pada 24 November 2012 pada usia 87 tahun kerana sakit tua. Semoga jasa-jasa yang dicurahkan oleh Kalimuthu dan orang-orang sepertinya tidak dilupakan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-65.
Mohd Solmi Ahmad Sofi pernah berkhidmat di stesen televisyen RTM sebagai Penyunting Berita TV, Penerbit Berita TV, Editor dan Wartawan.
Kami mengalu-alukan cadangan atau komen dari pembaca. Sekiranya anda punya artikel atau pandangan balas yang berbeza, kami juga mengalu-alukan tulisan anda bagi tujuan publikasi.