The Independent Insight

Giving truth a voice

  • Email
  • Facebook
  • Flickr
  • Instagram
  • Phone
  • Twitter
  • Vimeo
  • YouTube
  • Berita
  • Politik
  • Ekonomi
  • Teknologi
  • Reviu
    • Reviu Buku
    • Reviu Filem
    • Reviu Muzik
  • Rencana
  • Podcast
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami

Edisi Posmen : Surat Untuk YB Maszlee

October 18, 2018 By Mel Van Dyk Leave a Comment

 

 

Kehadapan YB yang dikasihi,

Semoga YB dalam keadaan waras dan sihat hendaknya. Pertama sekali saya nak meluahkan rasa simpati kepada YB kerana lately ni YB sering menjadi bualan orang ramai. Sejujurnya saya nampak benar keikhlasan YB dalam membentuk masyarakat Malaysia Baharu ni. Kadang-kadang bila YB cemas dan mati akal bila dihujani soalan-soalan cepumas dari wartawan-wartawan yang entah dari mana tu, saya pun jadi sedih. Alah, jangan pedulikan lah mereka-mereka tu YB. Mereka tu bukan tahu pun maksud seni sebenar. Bagi saya warna stokin hitam tu memang idea yang bernas. Bak kata Rain dalam iklan shampoo dulu: “Hitam itu kemas, Hitam itu menawan”.

Tapi hal stokin ni bukanlah maksud sebenar saya mengirimkan surat ini. Begini kisahnya YB:

Tengahari tadi dalam pukul 1 lebih, usai menghantar surat di Tasek Gelugor saya pun singgah la di kedai nasi campur bersebelahan sekolah tahfiz. Cuaca pun asyik mendung dari pagi tadi, saya fikir elok benar la saya isi perut sebelum ke Kubang Menerong. Elok je saya duduk, ada seorang ustaz tiba-tiba mengamuk sambil hentak meja. Sikit lagi nak tertumpah milo ais saya. Ini semua berpunca dari Timbalan Menteri YB yang mengatakan bahawa program MyBrain15 tidak akan disambung. Terkejut saya YB, tapi saya maintain cool and handle the surprise. Tak mungkin jabatan dibawah kelolaan YB akan membuat keputusan membabi buta macam ni. Saya bertanya la pada ustaz yang mengamuk tu untuk kepastian. Alangkah pilu hati saya melihat berita yang disiarkan di Utusan Online tu YB.

YB kata program MyBrain15 tu takkan disambung dengan alasan tak mendapat kelulusan peruntukan. Saya baru je memasang hajat nak menyambung pengajian dalam jurusan logistik tahun depan. Cita-cita saya adalah untuk memastikan Pos Malaysia terus berkembang pesat dalam industri logistik dan mampu menaja pasukan bola gergasi Inggeris yang unggul seperti Liverpool FC contohnya. Tapi apa kan daya, angan-angan saya jatuh berderai, layu di tasik madu.

YB,

Saya masih ingat pada 17 September lepas, rakan DAP YB di Sabah, Datuk Wong Tien Fatt berkata bahawa Sabah kekurangan tenaga doktor. Beliau juga mengakui bahawa bukan sahaja Sabah malah seluruh negara memerlukan lebih tenaga doktor untuk mengatasi masalah 1:600 ratio doktor dan pesakit. Selepas itu, pada 26 September pula rakan YB dari AMANAH, Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah selaku Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata bahawa negara kita memerlukan lebih ramai arborist untuk menjaga keseimbangan alam sekitar. Tiba-tiba pada bulan ini, Timbalan YB, Teo Nie Ching pulak mengumumkan tidak akan menawarkan lagi program MyBrain15 pada tahun ini untuk rakyat dan diakui oleh YB sendiri. Apa semua ini YB?!

YB,

Macam ni lah, saya terangkan dengan konsep yang mudah nak faham. Umpamanya YB ada 2 ekor anak ayam. YB nak kembangkan dari 2 ekor tu kepada 2.6 billion ekor. Jadi YB kena lah jaga ayam yang YB ada tu dengan membeli makanan terbaik, panggil veterinar datang check up, supaya ayam-ayam YB boleh beranak pinak. Ini tidak, YB buat relax, bagi alasan tiada modal. Memang sampai bila-bila lah Pakatan Har… maksud saya harapan YB hanya tinggal harapan.

YB,

Akhir kata, apa pun terjadi, saya tetap di belakang YB. Selaku seorang pemuda yang berdedikasi, saya akan teguh menyokong wadah perjuangan YB dan rakan-rakan walaupun kadang-kadang penyataan YB membuatkan saya confuse lalu hilang fokus saya ketika menunggang motosikal dalam perjalanan menghantar surat. Mungkin level pemikiran seorang Posmen biasa macam saya ni tak berupaya nak menghadam hal politik Malaysia Baharu ni. Maafkan saya YB.

Oh ya satu lagi perkara YB. Kalau plan stokin YB berjaya, saya ingat nak jadi supplier di zon utara ni. What say you? Maklumlah harga stokin di Padang Besar murah-murah. Boleh juga tambah-tambah pendapatan ye tak?

Yang Benar,
Jefryzal Talib

 

 

Mel Van Dyk

Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.

Filed Under: Politik Tagged With: Jefryzal, Posmen

Surat untuk Y.B

June 28, 2018 By Mel Van Dyk 4 Comments

 

Kehadapan Y.B yang dihormati,

Berat rasanya hati saya untuk menulis surat ini. Mungkin disebabkan faktor usia atau boleh jadi juga disebabkan telah lama meninggalkan hal ehwal tulis menulis ini. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya lebih suka membaca dari menulis. Tapi saya gagahkan juga tangan ini atas faktor desakan perasaan yang tak terbendung lagi.

Begini Y.B,

Saya perkenalkan diri saya serba sedikit sebagai muqoddimah supaya YB dapat mengenali diri saya ini. Saya yakin bahawa saya ini bukanlah siapa-siapa dimata YB. Tapi bak kata orang, tak kenal maka tak cinta.

Nama saya Jefryzal Talib, umur 31 tahun, berasal dari Kampung Baru, Pulau Pinang – masih bujang dan kini bekerja sebagai seorang posmen di Kuala Lumpur. Rasanya pengenalan yang ringkas dan padat ini sudah cukup untuk menjawab persoalan YB tentang siapakah gerangan yang menulis surat ini. Tentang bagaimana rupa dan fizikal saya itu tak usahlah di fikir dalam-dalam. Anggaplah YB sedang berbual dengan Dwayne Johnson.

Y.B,

Rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri buat YB dan keluarga. Semoga YB dan keluarga bergembira menyambut Syawal bersama sanak saudara tercinta.

Hari yang sepatutnya disambut meriah oleh kaum muslimin dan muslimat telah pun tiba, namun saya hanya mampu menyambut dengan duka nestapa.

Y.B,

Ingatkah Y.B yang Y.B pernah berkata bahawa kalau YB menang, kutipan tol akan dihentikan? Jangan buat-buat lupa, salinan Buku Harapan masih tersemat rapi untuk dijadikan panduan. Tapi saya lihat ada je lagi? Tol masih lagi beroperasi macam tahun-tahun sudah. Cuma ada dikurangkan jadi 50% selama 2 hari sempena Raya. Apa semua ini Y.B? Dimanakah janji-janji YB dulu semasa kempen pilihanraya?

Natijahnya, berayalah saya sorang-sorang di Kuala Lumpur ini akibat tak mampu nak bayar tol. Agak stupid alasan saya kan Y.B? Ya memang pun, ini semua kerana duit gaji saya habis bayar hutang PTPTN. Yes you got it right YB, walaupun saya seorang posmen, tapi saya tahu tanggungjawab saya dalam membayar hutang. Saya takut bila mati nanti roh saya akan tergantung antara langit dan bumi dek kerana tak bayar pinjaman pelajaran saya ketika menyambung pengajian peringkat diploma di Kolej Vokasional dulu. Tapi tak mengapa, saya anggap dugaan ini sebagai suratan takdir hidup saya.

Y.B,

Kalau Y.B nak tahu, saya lah antara pemuda yang lantang dan berani berkempen untuk Y.B tanpa mengenal siang dan malam. Dimana ada function Y.B, di situ lah ada saya, hanya berbekalkan Honda EX-5 Pos Malaysia. Ini kerana saya yakin dengan misi dan visi yang Y.B cuba ketengahkan atas nama politik baharu. Saya panjangkan idea-idea Y.B ke orang-orang kampung, dan saya yakinkan mereka bahawa mereka boleh menikmati kehidupan yang lebih selesa jika kita memilih Y.B sebagai pemimpin. Rata-ratanya bersetuju dengan hujah yang saya sampaikan, cuma sebilangan kecil sahaja yang membangkang. Din Kapal contohnya. Tapi saya tak hairan sangat sebab dia bekerja di laut, mana tahu sangat perkembangan politik kita ni. Line internet tengah laut tu pun mana boleh harap sangat.

Tapi akhir-akhir ini saya dikecam teruk oleh orang-orang kampung. Setiap kali saya pulang ke kampung, semua orang seolah-olah memandang serong kepada saya. Tak kira kemana saja saya pergi, hatta ke surau sekalipun tak terlepas dari cemuhan orang ramai. Walhal, Nizam anak Lebai Dollah yang menipu orang ramai melalui pelaburan emas tak berlesen tahun lepas pun tak memerima nasib seteruk saya ni. Sebak rasa hati saya ni Y.B. Kalau dikuis sikit dengan lagu Handyblack – Kau Yang Bernama Seri tu, nescaya akan berlinanganlah mata saya ni Y.B. Saya malu tau Y.B, malu! Semuanya berpunca dari janji manis Y.B untuk turunkan harga minyak. Saya tengok harga minyak sama je, tak berubah. Dulu YB kata harga minyak boleh jadi RM 1.50. To the hell with it! Apa semua ini Y.B? Tergamak YB mencalarkan maruah saya sebagai pemuda kampung yang ikhlas berjuang untuk Y.B. Unbelievable.

Y.B,

Maafkan saya atas gangguan emosi tadi. Saya tahu, tak adil rasanya kalau saya hanya menyatakan kesalahan Y.B semata-mata. Saya tak nafikan bahawa ada juga perubahan dan janji yang telah pun Y.B laksanakan. GST contohnya. Saya sangat gembira dan bersyukur kerana Y.B menerima cadangan dan mendengar permasalahan akar umbi berkenaan isu GST ini. Walaupun tidak dimansuhkan secara total, namun yang penting ia sudah dikekalkan sebagai 0%.

Saya mengambil peluang ini untuk menunaikan janji kepada ibu saya untuk membelikan beliau satu set sofa baru sempena Syawal yang lalu. Walaupun saya bukanlah seorang pegawai bank, tapi yakin bahawa harganya akan jadi berkurangan ekoran GST sifar.

Tapi apakan daya, SST yang digunakan kini menyebabkan beberapa barangan menjadi lagi mahal, set sofa pun tak terkecuali. 3 kali saya telan air liur depan Ah Keong yang ligat memicit kalkulator. Akhirnya saya terpaksa menolak dengan sopan dan niat untuk membeli sofa baru saya padamkan dari fikiran. Kecil hati orang tua saya tau Y.B. Saya tak tahu lah sama ada Y.B atau Ah Keong yang bersalah dalam hal ini, wallahualam.

Y.B,

Saya harap agar Y.B dapat menerima isi surat saya ini dengan hati yang terbuka. Satu benda yang perlu Y.B tahu, walau macam mana pun rakyat tetap berkuasa untuk memilih. Jangan nanti 5 tahun akan datang, Y.B terpaksa packing mengosongkan pejabat.

Ok lah Y.B, saya ada surat nak hantar. Kalau singgah Gombak, picit saya. Saya belanja teh tarik.

Sekian,
Jefryzal Talib

Mel Van Dyk

Part time independent writer and podcaster from Sarawak, Malaysia.

Filed Under: Rencana Tagged With: Jefryzal, Posmen, Surat, YB

Recent Posts

  • Ulasan Buku: Feudalisme: Sejarah dan Persejarahan
  • Dar al-Suhyuni: Apabila Ulama Islam Menjadi Neo-Orientalis
  • Alip Moose: “Beginilah Bila Bercakap Tak Tahu Apa-Apa”
  • Pendekatan Dalam Memahami Falsafah Barat Menurut Pandangan Pemikir Islam
  • Naquib al-Attas: Kritikan, Pengalaman dan Syarahan

Archives

Copyright © 2025 The Independent Insight