Walaupun tidak pernah menulis apa-apa, Socrates dianggap sebagai ahli falsafah yang penting, malah sebahagian penulis menganggap pemikiran beliau telah buat selamanya mengubah pandangan manusia tentang apa yang dimaksudkan dengan falsafah.[1] Socrates bukanlah pengasas falsafah, beliau juga bukan pengasas kepada falsafah Yunani. Sebelum kelahiran Socrates sendiri, bidang falsafah telah berkembang di Yunani selama ratusan tahun, namun falsafah pra-Socrates ini tidak ditulis, jika ditulis, bahan tersebut tidak terselamat dari ditelan masa. Pemikiran falsafah pra-Socrates tidak terpelihara ke zaman moden dengan lengkap, ia hanya wujud dalam bentuk cebisan-cebisan sehingga sarjana merasakan mustahil kita dapat mengetahui dengan tepat pemikiran ahli falsafah sebelum Socrates baik bentuk pemikiran mereka secara sempurna, atau ketepatan maklumat perihal kehidupan mereka dari sudut sejarah.[2]
Rekonstruksi Pemikiran Socrates
Jika falsafah pra-Socrates mempunyai masalah sumber, membentuk semula kehidupan dan pemikiran Socrates juga menghadapi masalah yang sama. Walaubagaimanapun, Socrates lebih bernasib baik berbanding pemikir sebelumnya kerana terdapat sumber yang mencukupi untuk melakukan rekonstruksi terhadap pemikirannya. Dan sumber-sumber ini sampai ke zaman moden. Terdapat 4 sumber utama yang boleh digunakan untuk memahami dan membentuk semula pemikiran Socrates. 4 sumber ini merupakan mereka yang dekat dengan Socrates dan sebahagiannya mengenali beliau secara peribadi. 4 sumber ini adalah Plato, Xenophon, Aristophanes, dan Aristotle. Sebagai sumber sejarah, masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri. Plato adalah sumber yang paling banyak menulis perihal Socrates, namun ia tidak dapat dijadikan sebagai sumber yang benar-benar objektif kerana Plato bersifat bias dan terlalu mengagung-agungkan Socrates. Xenophon yang merupakan anak murid Socrates pula tidak menjadi ahli falsafah, sebaliknya memilih untuk menjadi petani. Aristophanes pula menggambarkan Socrates sebagai orang yang bodoh, manakala Aristotle merupakan sumber yang terkemudian dan agak lewat, beliau lahir 15 tahun selepas Socrates.[3]
Walaupun 4 sumber utama ini berbeza antara satu sama lain, ia sebenarnya memberi kelebihan kepada ahli sejarah dalam usaha untuk melakukan rekonstruksi terhadap sosok Socrates yang sebenar. Persamaan yang ada pada sumber-sumber ini dapat dinilai sebagai sahih manakala dengan membuat perbandingan, kita dapat melihat elemen-elemen bias dalam penulisan perihal peribadi Socrates.[4] Dengan membuat pengasingan antara persamaan dan juga elemen bias dalam periwayatan, kita dapat membentuk semula pemikiran Socrates yang seimbang.
Perbicaraan dan Hukuman Bunuh
Perkara yang paling terkenal perihal Socrates adalah perihal perbicaraan yang dikenakan ke atasnya kemudian diikuti hukuman mati susulan dari perbicaraan tersebut. Dalam buku yang ditulis oleh Fareed Zakaria yang membahaskan persoalan kebebasan, beliau mengatakan proses perbicaraan yang dihadapi oleh Socrates ini adalah proses yang demokratik tetapi tidak liberal.[5] Socrates sering mengatakan bahawa dia tidak mengetahui apa-apa, oleh itu dia tidak dapat mengajar apa-apa seperti tuduhan yang dibuat ke atasnya. Namun aktiviti yang sering dilakukannya mirip dengan aktiviti mengajar, Socrates dituduh mengajar perkara yang merosakkan golongan muda di Athens. Perbicaraan ini berlangsung ketika umurnya menghampiri 70 tahun sekitar tahun 399 sebelum masehi.[6] Ketika dibicarakan pun, Socrates dilihat meneruskan aktiviti kegemarannya iaitu berhujah dan beragumentasi, maka boleh dikatakan bahawa beliau beragumentasi sehingga mati.[7]
Perbicaraan ini mempunyai latar politik, iaitu selepas Athens kalah dalam peperangan melawan Sparta. Athens kemudian diperintah oleh tirani yang diletakkan oleh Sparta dan anak-anak murid Socrates terlibat dalam pemerintahan tirani ini. Orang-orang Athens juga merasakan golongan intelektual melemahkan masyarakat mereka.[8] Terdapat 3 tuduhan utama yang dilemparkan kepada Socrates dalam perbicaraan ini, iaitu beliau tidak mengiktiraf tuhan rasmi masyarakat Athens, cuba memperkenalkan tuhan baharu, dan merosakkan golongan muda.
Menurut Gottlieb yang menulis perihal Socrates, tuduhan bahawa Socrates memperkenalkan tuhan baharu mempunyai merit, ini kerana beliau sering bercakap tentang daimonion iaitu penjaga spiritual, yang menjadi petunjuk suci yang membantunya sejak beliau kecil, bagi Gottlieb, daimonion ini boleh dikatakan sebagai suara hati Socrates yang sentiasa berhati-hati dalam membuat keputusan.[9] Perkara ini dianggap serius oleh demokrasi Athens yang mempunyai prosedur tersendiri untuk mengiktiraf tuhan baharu. Kekuasaan negara sahaja pada ketika itu mempunyai hak untuk menentukan apa yang wajar disembah dan dijadikan objek suci.[10] Hal ini bertentangan dengan pandangan penulisan perihal zaman klasik lain. Contohnya Catherine Nixey yang cuba menunjukkan bahawa masyarakat klasik lebih toleran dalam menerima tuhan baharu.[11] Menurut Nixey, kepercayaan pagan pada zaman klasik tidak mempunyai masalah dengan tuhan yang berbeza.[12] Ini dilihat tidak berlaku dalam kes Socrates.
Walaupun dijatuhkan hukuman mati, Socrates tidak gentar. Bagi Socrates, orang yang takut mati adalah orang yang berfikir bahawa dia bijak, namun sebenarnya dia tidak bijak. Bagi Socrates tiada siapa yang tahu apa yang terjadi selepas mati, kemungkinan ia merupakan satu nikmat yang paling besar bagi manusia. Tetapi manusia takut mati, kerana mereka berfikir bahawa mereka tahu apa itu kematian, kematian bagi mereka adalah sesuatu yang buruk dan jahat. Bagi Socrates, orang yang merasakan kematian itu buruk sebenarnya jahil, kerana dia merasakan dia tahu akan sesuatu hakikat yang sebenarnya tidak diketahuinya. Orang yang mengakui bahawa dia tidak tahu apa yang berlaku selepas mati bagi Socrates adalah orang yang bijak, kerana dia sedar bahawa dia tidak mempunyai ilmu.[13] Socrates juga yakin bahawa tiada siapa yang mampu melukakan orang yang baik, baik semasa hidup atau selepas mati, oleh itu beliau tidak takut akan mahkamah yang menghukumnya. Dia percaya dia sedang melakukan kebaikan, oleh itu dia tidak sekali-kali akan mengubah pendiriannya hanya untuk melepaskan diri dari hukuman.[14]
Pemikiran Falsafah Socrates
Falsafah menurut Socrates adalah aktiviti yang intim dan kolaboratif. Ia dilakukan melalui perbincangan dalam kumpulan kecil. Dalam kumpulan ini mereka berdebat dan berbahas. Hasilnya, setiap peserta dalam kumpulan ini akan mencapai kepada sebuah kefahaman tentang apa yang dia rasakan benar perihal sesuatu subjek dengan sendirinya. Falsafah dalam bentuk aktiviti di masa lapang ini tidak dapat dicapai melalui syarahan atau penulisan. Ia adalah kefahaman yang lahir dari perbincangan. Oleh sebab itu Plato dan Xenophon mempersembahkan pemikiran Socrates dalam bentuk dialog.[15]
Ciri sentral kepada cara Socrates berfikir adalah bermula dengan tidak tahu, malah pemikir itu hendaklah mengakui bahawa dia tidak tahu akan sesuatu. Ini mungkin berbeza dengan pandangan kita perihal pemikir hari ini, bahawa mereka mengetahui sesuatu. Socrates sentiasa mengatakan bahawa dia tidak mengetahui apa-apa perihal apa yang dibincangkan, dan dengan itu bertanyakan banyak soalan.[16] Dengan menggunakan metodologi dialog ini, secara sedikit demi sedikit kita akan mengetahui maksud perihal sesuatu yang dibincangkan. Menurut Gottlieb, inilah kehebatan Socrates, bahawa dia penuh dengan kesedaran bahawa dia hanya mempunyai sedikit sahaja ilmu dan pengetahuan.[17] Saya bersetuju dengan pandangan Gottlieb ini, bahawa kita menjadi lebih berpengetahuan dengan menganggap bahawa kita tidak tahu, kerana dengan itu kita akan terbuka menerima pandangan dan ilmu baharu. Bukan seperti mereka yang mengaku intelektual yang kononnya sudah mengetahui semuanya perihal sesuatu subjek, ke-egoan mereka kadangkala menjengkelkan saya. Menurut Gottlieb, pengakuan tidak tahu ini bukan bermaksud Socrates tidak tahu perkara-perkara umum dan fakta-fakta kehidupan harian, tetapi beliau menzahirkan sikap tidak tahu di mana foundasi yang melahirkan moral.[18]
Bagi Socrates, kebaikan bukan hanya sesuatu yang dilihat dari perwatakan dan juga perlakuan, tetapi merupakan satu projek intelektual. Bagi Socrates seseorang itu hendaklah pertamanya memahami apa itu kebaikan, barulah dia dapat menjadi orang yang baik. Seseorang tidak dapat menjadi sesuatu yang dia sendiri tidak fahami.[19] Namun apa yang dikatakan Socrates ini tidak terbukti dalam perlakuan manusia sebenar. Ilmu tidak akan menjamin seseorang itu menjadi baik, manusia sering kali tahu bahawa perlakuannya tidak baik, tetapi tetap juga melakukannya. Aristotle mengkritik pandangan Socrates ini, menurut beliau, teori ini tidak mencakupi sekeluruhan psikologi manusia dan tidak mengambil kira bahagian yang tidak rasional yang wujud dalam diri manusia.[20]
Metodologi Argumentasi
Socrates mempunyai metodologi yang tersendiri dalam berdialog dengan seseorang dan melontarkan hujah. Beliau sentiasa merasakan bahawa dia tidak mengetahui apa-apa, tetapi untuk berbahas berkenaan dengan sesuatu subjek, kita mesti mempunyai sebuah definisi. Jika tidak diberikan definisi perihal objek yang hendak dibahaskan, perbahasan akan saling menembak antara satu sama lain pada target yang berbeza-beza dan tidak mampu mencapai sebarang hasil.
Oleh kerana Socrates tidak mengetahui apa-apa, beliau akan membiarkan lawannya memberikan definisi dan membina sebuah tesis. Ini adalah permulaan kepada metodologi argumentasi Socrates, iaitu membiarkan pihak lawan memberikan definisi. Setelah itu Socrates akan memulakan langkahnya. Dengan menggunakan definisi pihak lawan, Socrates akan melontarkan soalan-soalan yang menimbulkan kontradiksi dan keraguan dalam pemikiran definisi tersebut. Socrates akan bertanyakan soalan sehingga lawannya akan meragui definisinya sendiri dan membuat revisi kepada kenyataan asalnya.[21] Metodologi argumentasi seperti ini digunakan oleh pendebat-pendebat sehingga ke hari ini, dalam perdebatan, untuk menjatuhkan pihak lawan, cara yang paling berkesan adalah menggunakan kata-kata pihak lawan sendiri untuk melawan hujah mereka. Teknik seperti ini sering digunakan oleh pendebat moden seperti Mehdi Hasan.[22]
Metodologi seperti ini, iaitu dengan membiarkan pihak lawan memberi definisi sebelum menyiasatnya dengan pelbagai jenis soalan, lahir dari sifat Socrates yang skeptik dengan apa-apa kenyataan selagi ia tidak diteliti menggunakan akal fikiran. Menurut Gottlieb, Socrates memang tidak akan menerima apa-apa nasihat, hatta dari kawannya sendiri, kecuali sesudah membuat refleksi dan berfikir menggunakan akal fikiran bahawa perkara itu benar-benar sesuatu yang terbaik untuk dilakukan.[23] Melalui metodologi dialog, kefahaman itu akan datang dari orang yang ditanya itu sendiri apabila dia cuba menjawab soalan-soalan yang dilontarkan Socrates kepadanya, di sini kita melihat bahawa ilmu itu sudah ada dalam diri seseorang, Socrates hanya membantunya untuk mengeluarkan ilmu tersebut. Ilmu dalam hal ini, terbit melalui proses menyoal, bukan proses mengajar.[24] Socrates dalam metodologinya tidak mahu mengajar, kerana dia mengaku bahawa dia sendiri tidak tahu akan hakikat sesuatu, metodologinya adalah untuk menguji sesuatu hakikat yang dibentangkan kepadanya oleh orang lain dalam bentuk sebuah definisi.[25]
Metodologi Socrates ini mungkin kelihatan seperti provokasi, tetapi sebenarnya, apa yang hendak dilakukan oleh beliau adalah mengajar hakikat perihal sesuatu perkara walaupun dia sendiri menafikan bahawa dia sedang mengajar. Menurut Gottlieb, Socrates mengajar melalui usikan dan provokasi.[26] Apa yang hendak diajarkan? Matlamat akhir Socrates dari dialog, soalan, dan argumentasinya adalah untuk mencapai ilmu yang sebenar, bukan perihal hal-hal pekerjaan harian, tetapi ilmu sebenar perihal bagaimana untuk hidup dengan baik dan bermakna.[27]
Kesimpulan
Melalui tulisan ringkas ini, kita dapat merungkai sedikit pemikiran Socrates perihal falsafah. Falsafah boleh dikatakan sebagai sebuah metodologi untuk menyiasat makna dan hakikat sesuatu. Metodologi yang digunakan adalah melalui dialog, perbahasan, dan perdebatan dalam kumpulan kecil. Bagi Socrates, untuk seseorang itu mempelajari sesuatu, dia mestilah bermula dengan minda yang kosong, iaitu menyedari bahawa dia tidak mengetahui apa-apa. Bermula dari situ, dia akan menerbitkan soalan-soalan, dan dalam proses menjawab soalan-soalan ini, sedikit demi sedikit seseorang itu akan mendekati makna dan hakikat sesuatu yang dibahaskan. Walaubagaimanapun, metodologi dialog bukanlah satu-satunya metodologi untuk mencapai ilmu, ahli falsafah seperti Ibnu Tufail misalnya, berpendapat bahawa ilmu sebenar boleh diperolehi melalui renungan dan solitude, baginya ilmu bukan sekadar logik tetapi renungan yang dalam untuk memahami makna kehidupan.[28] Metodologi renungan mungkin merupakan metodologi yang lebih berkesan dalam pencarian makna, terutamanya bagi manusia moden yang hidup dalam dunia yang sesak dan laju, begitu laju sehingga manusia sendiri tidak faham mengapa mereka bergerak laju.[29] Saya berpandangan, walau apa pun metodologi yang kita gunakan, baik dialog, argumentasi, renungan, atau solitude, semua metodologi ini mempunyai satu elemen yang sama, iaitu elemen berfikir dan penggunaan akal. Masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan, oleh itu ia tidak boleh dipilih salah satu dan menyisihkan yang lain, sebaliknya kita harus memanfaatkan semuanya bagi mendalami ilmu. Seperti yang difahami Socrates, dengan mempunyai ilmu yang dalam, barulah kita dapat hidup dengan baik dan benar.
Bibliografi
Gottlieb, Anthony. 2002. Socrates. Phoenix.
Hasan, Mehdi. 2023. “Win Every Argument with Jen Psaki.” Politics and Prose. March 02. https://www.youtube.com/watch?v=9zBAXKYdcus.
McKirahan, Richard D. 2011. Philosophy before Socrates: An introduction with texts and commentary. Hackett Publishing.
Nails, Debra , S. Sara Monoson, and Edward (ed.) N. Zalta. 2022. “Socrates.” The Stanford Encyclopedia of Philosophy (Summer 2022 Edition).
Nixey, Catherine. 2018. The Darkening Age: The Christian Destruction of the Classical World. Pan Books.
Syed Ahmad Fathi. 2023. “Kehancuran Dunia Klasik Romawi & Yunani.” Academia Book Review.
Syed Ahmad Fathi. 2022. “Memahami Falsafah Kehidupan Dari Allegori Hayy Ibn Yaqzan Karya Ibnu Tufail.” Academia Book Review.
Syed Ahmad Fathi. 2023. “Renung: Metodologi Fikir Dalam Pencarian Makna.” The Independent Insight.
Zakaria, Fareed. 2004. The Future of Freedom: Illiberal Democracy at Home and Abroad. W. W. Norton & Company.
[1] Debra Nails and S. Sara Monoson, “Socrates”, The Stanford Encyclopedia of Philosophy (Summer 2022 Edition), Edward N. Zalta (ed.), URL https://plato.stanford.edu/archives/sum2022/entries/socrates/
[2] Richard D. McKirahan Philosophy before Socrates: An introduction with texts and commentary. Hackett Publishing, 2011.
[3] Anthony Gottlieb. Socrates. Phoenix, 2002, hlm 20-21.
[4] Ibid., hlm 22.
[5] Fareed Zakaria. The Future of Freedom: Illiberal Democracy at Home and Abroad. W. W. Norton & Company, 2004.
[6] Anthony Gottlieb. Socrates. Phoenix, 2002, hlm 10.
[7] Ibid., hlm 22.
[8] Ibid., hlm 11.
[9] Ibid., hlm 17.
[10] Ibid., hlm 12.
[11] Catherine Nixey. The Darkening Age: The Christian Destruction of The Classical World. Pan Books, 2018.
[12] Syed Ahmad Fathi. “Kehancuran Dunia Klasik Romawi & Yunani.” Academia Book Review, 2023.
[13] Gottlieb. Socrates., hlm 19.
[14] Ibid., hlm 37.
[15] Ibid., hlm 20.
[16] Ibid., hlm 9.
[17] Ibid., hlm 15.
[18] Ibid., hlm 15.
[19] Ibid., hlm 24.
[20] Ibid., hlm 34.
[21] Ibid., hlm 9.
[22] Mehdi Hasan. Diskusi perihal buku Win Every Argument bersama Jen Psaki. Politics and Prose, 02 Mac 2023. Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=9zBAXKYdcus
[23] Gottlieb. Socrates., hlm 16.
[24] Ibid., hlm 28.
[25] Ibid., hlm 29.
[26] Ibid., hlm 36.
[27] Ibid., hlm 42.
[28] Syed Ahmad Fathi. “Memahami Falsafah Kehidupan Dari Allegori Hayy Ibn Yaqzan Karya Ibnu Tufail.” Academia Book Review, 2022.
[29] Syed Ahmad Fathi. “Renung: Metodologi Fikir Dalam Pencarian Makna.” The Independent Insight, 2023.
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.