The Independent Insight

Giving truth a voice

  • Email
  • Facebook
  • Flickr
  • Instagram
  • Phone
  • Twitter
  • Vimeo
  • YouTube
  • Berita
  • Politik
  • Ekonomi
  • Teknologi
  • Reviu
    • Reviu Buku
    • Reviu Filem
    • Reviu Muzik
  • Rencana
  • Podcast
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami

Membaca Sekeping Zine

July 22, 2025 By Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Hidup beberapa hari yang lalu terasa begitu sibuk. Kesibukan menyedut seluruh masa dan tenagaku, kiri dan kanan, atas dan bawah. Akhirnya yang tinggal hanyalah tulang lesu yang kepenatan dengan degupan jantung yang semakin melemah. Tapi dalam layup mata kuyu itu aku tetap tarikan jari jemari di atas papan kekunci. Terasa ingin berkongsi beberapa dapatan bacaan dari sekeping zine.

Zine Dari Johor edisi terbaharu telah memilih “egoisme” sebagai tema mereka. Saya merasakan ini merupakan tema yang diambil dari penulisan Max Stirner yang menulis tentang pemikirannya bahawa manusia itulah yang menciptakan sifat dan makna tentang dirinya sendiri.[1] Stirner menolak sesuatu yang dikatakan suci dan bersifat tetap.[2] Ada beberapa idea Stirner yang saya rasa bermasalah, misalnya idea bahawa kita bebas bertindak berdasarkan kehendak peribadi atas pilihan sendiri.[3] Dari satu sudut ia kelihatan seperti idea kebebasan mutlak, namun masalahnya siapa yang akan menghalang kebebasan itu dari menindas orang lain? Bagaimana jika seseorang itu memilih untuk menindas? Akhirnya tetap akan lahir peraturan dan perundangan yang akan mengawal manusia. Begitulah sebenarnya lapangan idea, pasti ada kontradiksi.

Namun ada juga idea Stirner yang dibincangkan dalam ZDJ kali ini yang saya boleh bersetuju. Misalnya apabila disebutkan perihal kebebasan mengundi yang sebenarnya merupakan ilusi, hakikatnya ia merupakan sebuah sangkar yang memakai baju kebebasan.[4] Bagi saya idea ini mirip dengan fahaman saya perihal demokrasi yang telah saya bukukan.[5] Demokrasi itu adalah kebebasan untuk kita berpolitik dalam sangkar yang sudah dibina untuk kita, satu ilusi dan penipuan untuk kelangsungan hegemoni elit tertentu. Jika kita keluar dari sangkar itu, kita tidak akan dibiarkan bebas, kita akan digelar sebagai subversif, radikal, pengganas, dan ekstremis.

Saya juga bersetuju dengan idea yang dibawa bahawa dalam penulisan kita tidak perlu mengikut selera pembaca, kerana ini akan menjadikan kita hamba.[6] Bagi saya penulisan yang bebas itu lebih membahagiakan, apa pun kritikan pembaca. Jika kita hanya menulis apa yang pembaca mahu baca, sebenarnya kita bukanlah bebas berfikir, kita masih dirantai.

Perkara lain yang saya minat dalam ZDJ adalah perkongsian laporan-laporan dan aktiviti mandiri yang dilakukan.[7] Saya rasa ia merupakan catatan yang sangat bermakna, banyak yang kita boleh belajar berkenaan dengan cara menganjurkan acara dengan bebas. Laporan-laporan ini kadangkala ditulis dengan santai dan kelakar, menjadikan ia lebih menarik dan tidak kaku. Antaranya laporan kelakar yang ditulis oleh Pakteh, bagi saya sangat menyeronokkan.[8] Ada juga penulisan yang saya rasakan bersifat ironis, misalnya laporan berkenaan dengan kehebatan pembesar Melayu oleh golongan yang sering memburukkan pembesar Melayu sebagai kolot dan bersifat feudal.[9] Saya tertanya, adakah golongan ini berubah-ubah pendiriannya? Apabila acara itu dianjur oleh negeri, tiba-tiba pembesar Melayiu itu terus menjadi baik dan hebat. Ironis.

ZDJ ini turut memuatkan beberapa cerpen. Ada cerpen yang saya faham, ada juga yang saya tidak faham. Ada juga yang tulisannya tergantung, mungkin sebagai pancing untuk pembaca membeli edisi seterusnya. Ada juga ulasan filem pendek yang saya rasakan menarik.[10] Filem-filem pendek ini mungkin saya tidak akan tahu ia wujud kalau saya tidak membaca zine ini. Ulasan filem yang menarik ini telah membuatkan saya layan juga beberapa filem yang diulas.

Banyak lagi tulisan-tulisan yang menarik dalam zine ini. Kalau nak baca kenalah beli sendiri. Saya rasa kekuatan zine ini adalah ia mengumpulkan penulisan-penulisan luar kotak yang tidak diterbitkan di publikasi lain. Tidak rigid berformat skema yang akhirnya menjadikan bacaan membosankan. Sebaliknya ia bersifat terbuka dan meraikan semua tulisan dan pandangan. Harap editor ZDJ iaitu Redo terus konsisten dan akan mengeluarkan lagi edisi seterusnya.

Bibliografi

Redo (Editor), and Safeena (Editor). 2025. Zine Dari Johor “Egoisme” Bil. 02. Kulai: Studio Kolektif Naratif.

Syed Ahmad Fathi. 2025. Demokrasisma: Masalah-Masalah Dalam Sistem Demokrasi. Seremban: Rabak-Lit.


[1] Redo (Editor) dan Safeena (Editor) Zine Dari Johor (ZDJ) Bil. 02 (Kulai: Studio Kolektif Naratif, 2025)., hlm. 2

[2] ZDJ., hlm. 7.

[3] ZDJ., hlm. 9

[4] ZDJ., hlm. 10.

[5] Lihat Demokrasisma: Masalah-Masalah Dalam Sistem Demokrasi.

[6] ZDJ., hlm. 8.

[7] ZDJ., hlm. 32.

[8] ZDJ., hlm. 34.

[9] ZDJ., hlm. 30-31.

[10] ZDJ., hlm. 83

Membaca-Sekeping-ZineDownload
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair
Syed Ahmad Fathi Bin Syed Mohd Khair

Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.

independent.academia.edu/SyedAhmadFathi

Filed Under: Reviu Buku Tagged With: Aktivisme, Anarkisme, Egoisme, Kolektivisme, ZDJ, Zine Dari Johor

Recent Posts

  • Membaca Sekeping Zine
  • Pasca Membaca Buku Pascabaca
  • Analisis Permulaan Perang Amerika Syarikat-Israel Ke Atas Iran Pada Bulan Jun 2025
  • Retelling the Story of the Great Majapahit Empire
  • Nota PBAKL: Prosa Klise Yang Benar, Kehidupan Adalah Satu Perjalanan

Archives

Copyright © 2025 The Independent Insight