
Tulisan Suhaib Zahir perihal “ilmu yang terkurung” dipagari institusi ini merupakan satu refleksi yang sangat penting untuk difahami oleh manusia-manusia yang bergelut dalam industri ilmu. Terutamanya di peringkat universiti atau yang lebih tinggi. Mungkin ada yang mengatakan, alah kritikan ini sudah biasa didengari, namun bagi saya ia perlu dikembangkan dan diperhalusi, kerana ideanya belum meluas. Saya teringat akan sebuah penulisan yang menyatakan ilmu itu akan mati jika universiti mati, saya termenung sekejap selepas itu, saya terfikir, adakah sebelum wujudnya universiti, ilmu itu tidak wujud? Begitulah sebenarnya pemikiran kita yang masih “terkurung”.
Tetapi ini tidaklah bermakna universiti itu langsung tidak berguna. Jika difahami ilmu dengan betul, universiti sebenarnya boleh menyumbang secara positif kepada pembentukan manusia. Bukan sekadar menjadi sub-kontraktor kepada industri untuk melahirkan “graduan pasar” untuk dipasarkan selepas tamat mengaji. Teringat saya tentang sebuah dialog, apabila ditanya, apakah pekerjaan yang tidak banyak dihasilkan? Kita sudah banyak guru, doktor, jurutera, ahli politik, apa yang kurang? Dalam masyarakat, pekerjaan yang kurang adalah menjadi manusia yang baik. Baik imannya, pekertinya, moralnya, adabnya, ibadahnya, hidupnya.
Aspek manusiawi dalam pendidikan inilah yang bagi saya sangat mahal dalam penulisan Suhaib Zahir. Beliau telah membuat analisis hasil pengalamannya menjadi guru di sekolah agama, menjadi pensyarah di institusi pengajian tinggi, menjadi guru ganti, menjadi tutor, dan melibatkan diri dalam pendidikan masyarakat marginal di Sabah. Semua ini telah digunakannya untuk melihat kelompongan sisi-sisi manusiawi yang sering hilang dalam sistem pendidikan hari ini yang mengejar markah peperiksaan, ranking, kebolehpasaran, dan seribu satu indeks-indeks lain yang akhirnya menghilangkan nilai manusiawi dalam pendidikan dan melihat pelajar sekadar sebagai statistik dan data untuk dimasukkan rekod mereka di dalam sistem. Naskah refleksi dari Suhaib Zahir ini jika dihadam dengan betul, saya pasti akan dapat membantu kita memanusiakan semula keilmuan kita di watan kita yang tercinta ini.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024), Homo Historikus (2024), DemokRasisma (2025), dan Dari Orientalisma Hingga ke Genosida (2025). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.





