Penulisan ini membincangkan naskah bertajuk Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah tulisan Syed Hussein Alatas. Selain dari naskah yang kita bincangkan ini, Syed Hussein Alatas juga merupakan penulis karya terkenal yang bertajuk The Myth of the Lazy Native (Mitos Peribumi Malas), karya yang dirujuk oleh sarjana seperti Edward Said sebagai satu contoh revisionary history dalam kalangan sarjana Asia. Dalam pendahuluannya, Alatas memperingatkan kepada sidang pengarang dan penulis perihal pentingnya sikap tidak terburu-buru dalam menerbitkan penulisan kerana masa merupakan salah satu bahan yang penting dalam penghasilan satu penulisan yang matang.
Tujuan buku ini ditulis adalah untuk melahirkan manusia Islam yang baharu, kerana menurut beliau manusia Islam lama yang masih ada pada hari ini tidak dapat membawa umat kearah kemajuan. Apakah definisi manusia Islam yang baharu ini? Menurut beliau manusia Islam yang baharu ini adalah manusia yang sanggup menerima kemajuan dan pemikiran zaman moden, bagi mereka pintu ijtihad perlu dibuka, mereka dapat berdiskusi dan berwacana dengan tenang dan aman serta mempunyai keberanian untuk melepaskan diri dari kongkongan pemikiran kuno. Manusia Islam yang baharu bukan sekadar berteriak akan perlunya kembali kepada Al-Qur’an – kerana hal itu sudah tiada keraguan dan menjadi kewajipan bagi setiap muslim, tetapi mereka dapat menghuraikan bagaimana ia dapat dilakukan sesuai dengan peredaran zaman dan tidak terperangkap pada pendapat-pendapat lampau yang sudah tidak sesuai dengan zaman ini.
Antara manusia Islam lama yang dikritik oleh Syed Hussein Alatas adalah Maulana Abul Ala Al-Maududi dari Pakistan. Slogan kembali pada Al-Qur’an Maududi itu beliau setujui, namun penafsirannya tidak beliau persetujui. Beliau mengkritik penafsiran dan pandangan-pandangan Maududi, antaranya yang melarang wanita dilantik menjadi wakil dalam badan perundangan dan parlimen. Juga pandangan Maududi perihal larangan menghiasi rumah dengan gambar. Bagi Alatas, Maududi mewakili aliran pemikiran yang kolot dan tulisan-tulisannya bersifat propaganda.
Dari aspek ini, ada bahagian yang saya tidak berapa setuju dengan pandangan keras Alatas. Dari satu sudut, saya bersetuju bahawa pandangan yang lapuk perlu ditinggalkan. Tetapi saya kira ada tulisan mereka yang baik untuk diambil pelajaran. Alatas tidak menolak penuh tulisan Maududi, namun menurutnya ia hanya sesuai untuk mereka yang sederhana pengetahuan tentang Islam kerana karangannya tidak memperdalam ilmu pengetahuan.
Yang kedua, Alatas menggolongkan bersama Maududi tokoh-tokoh lain seperti Muhammad Qutb, Nadvi, dan Muhammad Asad. Pada Alatas mereka semua ini adalah propagandis. Ini juga tidak saya persetujui. Jika Nadvi yang dimaksudkan adalah Abul Hassan Ali Nadwi, maka pandangan Alatas ini tidak dapat saya terima. Buku Nadwi, Saviours of Islamic Spirit sangat baik dibaca oleh umat Islam, baik tua atau muda, dimana beliau menulis dengan teliti sejarah mujaddid umat, juga kritikan terhadap mereka pada zamannya. Jika Nadwi merupakan propagandis, beliau tidak akan memasukkan kritikan terhadap mujaddid umat dalam bukunya.
Bagi Syed Hussein Alatas apa yang diperlukan oleh masyarakat Islam sekarang adalah menyaring pengaruh-pengaruh Barat dengan teliti dan saksama, bukan menolaknya seratus peratus. Terutamanya dalam bidang ilmu, teknologi, dan pendapat yang berguna untuk masyarakat Islam. Proses saringan ini juga perlu membuang pemikiran-pemikiran Barat yang songsang, antara yang beliau perincikan termasuklah fahaman relativisme, nihilisme dan fahaman material Marxisme. Untuk melakukan proses saringan ini, menurut beliau cendiakawan Islam harus membaca buku-buku pemikiran Barat dan membangun kapasiti untuk menjawab penyelewengan mereka. Sikap mengambil jalan pintas dengan mengharamkan buku tanpa menjawab persoalan-persoalannya tidak akan menguatkan umat. Beliau memetik bagaimana Tan Malaka yang lahir dari keluarga Islam yang kuat agama boleh menjadi pendiri komunis di Indonesia. Bagi beliau, jika cendiakawan Islam tidak mampu menjawab persoalan Barat, Tan Malaka bukanlah orang Islam terakhir yang akan memeluk Komunisme.
Kritikan Terhadap Fahaman Relativisme
Dalam bab yang pertama, Alatas mengkritik fahaman relativisme, fahaman relativisme yang dikritik beliau adalah dalam lapangan etika dan sifat asasi manusia. Bukan lapangan relativisme lain seperti dalam bidang Fizik yang dipelopori Einstein. Antara contoh yang beliau petik adalah kebuasan dan kekejaman Nazi dan Stalin, yang mana menurut beliau adalah hasil dari pengaruh relativisme dalam ehwal politik. Menurut fahaman relativisme, tidak ada apa yang dikatakan sebagai kebenaran yang benar seluruhnya (absolute truth), yang ada adalah kebenaran menurut pandangan masing-masing. Beliau juga meninjau fahaman ini dari sudut pandang fahaman kelas seperti yang difikirkan oleh Marx (class society) – sehingga demokrasi juga didefinisikan dengan terma kelas. Dari pemikiran ini, demokrasi didefinisikan sebagai “golongan kelas penguasa yang membuka pintu kelasnya agar orang dari bawah dapat masuk menjadi sebahagian anggotanya”.
Bagi Alatas, fahaman relativisme bercanggah dengan logika, mereka melihat ayam sebagai ayam pada satu zaman, dan melihatnya sebagai kucing pada zaman yang lain. Perbahasan fahaman ini menurut beliau adalah penting untuk mengetahui apa yang perlu diubah dan apa yang perlu dikekalkan. Perubahan atau revolusi dalam masyarakat perlu mempunyai garisan yang jelas perihal hal ini, jika segalanya relatif dan hendak diubah, maka sesuatu perubahan atau revolusi boleh bertukar kepada kesengsaraan sebagaimana terjadinya pada Revolusi Perancis pada 1789. Garis jelas perlu ada supaya adanya tujuan, bukannya revolusi berterusan tak berkesudahan. Perlu ada matlamat dalam melakukan perubahan, bukan meletakkan perubahan sebagai matlamat. Contohnya jika revolusi untuk menolak kezaliman dan penindasan, jika telah tercapai kemerdekaan dan keadilan, perubahan perlu berhenti, sebaliknya usaha perlu tertumpu tentang bagaimana untuk memelihara kemerdekaan dan keadilan itu.
Perbahasan Perihal Persoalan Kemajuan Masyarakat
Pada bab yang kedua, Alatas meninjau persoalan kemajuan masyarakat. Kemajuan masyarakat mempunyai definisi yang pelbagai bergantung kepada falsafah dan kepercayaan yang mendasarinya. Pada pandangan beliau, masyarakat yang maju itu pertamanya mestilah setiap ahlinya cukup keperluan hidup harian mereka.
Antara unsur-unsur penting yang perlu ada dalam sebuah masyarakat yang maju menurut Alatas adalah adanya kesenangan dan jaminan keselamatan kepada anggotanya. Jaminan ini merangkumi nyawa, harta, dan kehormatan individu yang tidak diganggu. Perlu ada keadilan antara golongan yang hidup dalam masyarakat, saling menghormati, dan saling mengambil berat antara satu sama lain. Juga perlu adanya semangat dan usaha untuk menimbulkan nilai-nilai berharga dalam kehidupan manusia. Masyarakat yang maju juga perlu mempunyai penulis, ahli seni, ahli fikir, ahli agama, ahli siasah dan sebagainya yang tinggi mutunya. Bagi Alatas, akhlak juga merupakan komponen bagi masyarakat maju, masyarakat maju perlu tinggi akhlaknya, boleh dipercayai dan berpengetahuan.
Perjuangan untuk mencapai kemajuan masyarakat menurut Alatas tidak dapat dipisahkan dengan ideologi. Kerana setiap ideologi memahami “kemajuan” dengan erti yang berbeda-beda. Jadi kita harus duduk dan bersepakat, apa yang terangkum dalam definisi “kemajuan” menurut ideologi kita. Apabila perkara ini jelas, barulah masing-masing ahli masyarakat dapat berkerja untuk menegakkannya.
Hubungan Islam dan Kebudayaan Melayu
Menurut Syed Hussein Alatas, hubungan Kebudayaan Melayu dan agama Islam terdapat 3 jenis:
- Perpaduan antara Kebudayaan Melayu dan agama Islam
- Hubungan yang neutral dan tidak bertentangan
- Pertentangan antara Kebudayaan Melayu dan agama Islam
Dalam fasal ini, Alatas memilih untuk memfokuskan perbahasan beliau pada hubungan yang ketiga iaitu pertentangan. Islam merupakan sistem hidup yang luas, syumul dan menyeluruh mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia. Disebabkan sifat syumuliyah Islam ini, agama Islam akan bercampur dengan kebudayaan tempatan ke mana sahaja ia tersebar. Campuran ini mensintesiskan campuran yang bulat dan tidak dapat dipecahkan.
Objek kritikan Alatas dalam fasal ini adalah kisah dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Sikap taat kepada raja yang zalim, tidak adil, membunuh rakyat sesuka hati, tidak menghormati agama dan gila perempuan yang ditonjolkan dalam kisah-kisah orang Melayu ini menurut Alatas adalah satu penderhakaan pada Tuhan, bertentangan dengan Islam, serta tidak sesuai dengan demokrasi zaman sekarang. Ia patut dikecam sekeras-kerasnya.
Anjuran Untuk Berfikir Demi Kemajuan
Tanpa mengurangkan kepentingan faktor objektif yang menghalang kemajuan, menurut Alatas, faktor objektif ini boleh kita atasi jika kita maju dalam hal subjektif. Contohnya, jika negeri kita kurang modal untuk pembangunan (objektif), ini dapat diatasi jika pemimpinnya bijak dan rajin mencari modal (bijak dan rajin itu subjektif).
Syed Hussein Alatas berpandangan bahawa umat Islam perlu belajar dari Barat untuk maju, hubungan kita dengan ilmu dari Barat bukan perlu seratus bersifat penentangan dan penolakan. Sebaliknya ilmuan kita perlu berperanan untuk memilih dan menyaring ilmu ini untuk manfaat bangsa. Antara tokoh pemikir Islam yang selalu beliau ulang-ulang yang mengetengahkan idea perlunya sinergi antara Islam dan ilmu pengetahuan Barat adalah Syed Jamaluddin al-Afghani dan Amir Syakib Arsalan.
Rintangan Kemajuan Berfikir Dalam Masyarakat Islam
Menurut Alatas, antara kekurangan yang ada dalam “pemberi panduan agama” masa kini (ustaz, ulamak dan orang agama) adalah mereka hanya mendalami ilmu-ilmu agama dan membaca kitab-kitab lama. Mereka tidak menjadi ahli dalam ilmu zaman sekarang, tidak berkecimpung dalam urusan masyarakat atau bergiat dalam perdagangan, pentadbiran, atau lapangan perofessional. Oleh itu pandangan-pandangan mereka sempit dan berdasarkan zaman lampau yang telah berlalu.
Beliau juga mengkritik falsafah ilmu yang berlegar dalam kalangan umat Islam, terutamanya pandangan yang mendefinisikan ilmu sebagai ilmu agama sahaja. Walhal, bersenjatakan dalil-dalil Al-Qur’an, beliau menjelaskan bahawa Islam amat menitik beratkan pengetahuan tentang alam dan ilmu-ilmu kemanusiaan. Jadi tidak mungkin definisi ilmu dalam Islam hanya ilmu-ilmu agama, kerana Al-Qur’an banyak sekali menyuruh manusia melihat dan mengkaji alam. Malah menurut Alatas, ayat-ayat tentang kejadian alam ini lebih banyak di dalam Al-Qur’an berbanding ayat perihal urusan ibadah amaliyah seperti solat dan puasa. Oleh itu pandangan yang mengatakan ilmu agama lebih tinggi dari ilmu sains itu tidak tepat, kerana semua ilmu itu adalah ilmu Allah, semuanya sama tinggi dan sama penting. Dari sudut pandang ini, bagi Alatas, kitab Ihya ‘Ulumuddin tulisan Imam Ghazali tidak lebih darjatnya dari al-Muqaddimah tulisan Ibn Khaldun. Begitu juga dalam kalangan ilmuan, Profesor Abdus Salam yang menguasai fizik tidak kurang darjatnya dari Iqbal yang menguasai syair-syair tasawuf.
Kejahilan tentang ilmu pengetahuan dan teknologi juga digemari oleh pemimpin-pemimpin Islam yang rosak yang hanya mementingkan kepentingan kelas elit mereka sahaja. Apabila masyarakat menganggap bahawa dunia ini kecil nilainya dan fikiran masyarakat hanya menumpu pada akhirat, mereka akan melupakan kezaliman yang dilakukan pemimpin Islam yang rosak ini. Mereka dapat terus memerintah dengan tidak adil tanpa gugatan masyarakat yang sudah dilarikan fokus mereka untuk hanya beribadat dan memikirkan alam akhirat.
Tumbuh Tiada Berbuah: Penutupan Pintu Ijtihad
Selepas empat imam mazhab ahli Sunnah meninggal dunia, iaitu Imam Malik ibn Anas, Imam Ahmad ibn Hanbal, Imam Abu Hanifah, dan Imam Shafie, mereka mewariskan pemikiran mereka, timbul sikap dalam golongan orang alim untuk menutup pintu ijtihad. Kesannya, segala persoalan baru dirumuskan berdasarkan tetapan imam-imam yang terdahulu ini, sedang ijtihad yang bebas dari mazhab terdahulu ini tidak digalakkan. Akibatnya, ilmu hukum masyarakat Sunni tetap stagnant tidak berubah sejak 1100 tahun yang lalu. Terdapat juga faktor dan sebab lain pintu ijtihad ini ditutup, antaranya adalah sifat protektif cendiakawan Islam dalam menjaga umat dari khalifah-khalifah rosak yang mencampuri dan merosakkan keilmuan Islam. Namun bagi Alatas, walaupun ia sesuatu yang wajar dilakukan pada situasi itu dahulu, kini ia tidak lagi wajar diteruskan, ia perlu dibuka bagi menjana kemajuan umat.
Alatas kemudian membahaskan konsep tingkatan kewibawaan (hierarchy of authority). Dalam fikah contohnya, yang paling utama adalah Nabi Muhammad, kemudian sahabat yang empat, sahabat-sahabat lain, seterusnya imam-imam besar pengumpul hadis dan pendiri mazhab. Dalam konsep ini, yang terdahulu lebih besar wibawanya. Dari pemikiran ini, umat Islam kurang menghargai ilmuan yang dekat dengan zamannya. Tetapi menurut Alatas, seiring perkembangan Islam merentasi zaman dan geografi, perlu ada pemikiran baharu dalam tingkatan wibawa ini. Contohnya jika kita ingin mendalami Tauhid dan memahami kelemahan falsafah Yunani Purba dengan alasan yang logik, yang paling berwibawa dalam hal ini adalah Imam Ghazali bukan sahabat nabi Abu Hurairah. Ini tidak bermakna kita tidak menghargai Abu Hurairah. Pencapaian seseorang perlu diukur dengan bidang ilmunya, bukan jumlah tahun Hijrah semasa cendiakawan itu hidup. Di hujung bab ke-6 ini Syed Hussein Alatas akhirnya memberi makna kepada frasa “tumbuh tiada berbuah” itu. Bahawa pintu ijtihad perlu dibuka, dan umat Islam boleh memberi sumbangan kepada zamannya (buah), bukan sekadar menukil pandangan-pandangan lama.
Pesanan Alatas Buat Penulis-Penulis Islam
Dalam naskah ini, Alatas tidak mensia-siakan peluang untuk memberi nasihat buat para penulis Islam. Menurut beliau, penulis Islam perlu mengetahui dasar agama Islam dalam masa yang sama mengetahui ilmu zaman. Pandai memilih tema-tema yang penting, juga tema yang belum diberi perhatian. Mereka juga perlu ada kebolehan untuk mengolah unsur-unsur Islam dengan ilmu pengetahuan, tema, jalan cerita dan keadaan masyarakat zaman sekarang. Hal ini penting supaya kehidupan beragama itu mempunyai erti kepada manusia yang sedang hidup. Tugas penulis Islam adalah untuk menyuburkan pokok Islam dalam jiwa umat. Jika ini tidak dilakukan, generasi Islam akan menjadi pokok yang tumbuh dengan daun yang lebat tetapi buahnya tidak ada.
Hubungan Antara Islam dengan Seni dan Sastera
Dalam bab ini, Alatas memulakan perbahasan dengan persoalan falsafah atau tujuan bagi seni dan sastera. Bagi beliau tujuan sastera bukanlah sastera itu sendiri, beliau tidak bersetuju dengan falsafah “seni untuk seni”. Beliau menulis:
“Pandangan ini sebenarnya karut kerana dari segi hakikat wujud sesuatu, tujuan sesuatu itu luar dari wujudnya sendiri.”
Beliau memberikan contoh dari perkara lain. Memasak misalnya, tujuan kita memasak bukan untuk memasak, tetapi untuk menyediakan makanan. Jika pun seseorang itu ingin memaknakan apa yang dikatakan “seni untuk seni” itu sebagai tidak mempunyai apa-apa tujuan, sekadar untuk kepuasan diri. Sebenarnya “kepuasan diri” itulah yang menjadi tujuan seninya dan memandu seninya. Jadi menurut Syed Hussein Alatas, seni untuk seni itu adalah mustahil.
Bab ini mengandungi perbahasan yang sangat menarik minat saya, iaitu bagaimana untuk kita mengkategorikan sesuatu hasil kerja itu sebagai Sastera Islam? Untuk menjawab persoalan ini, Alatas mencerakinkan dua pemikiran. Beliau membahagikan dua kategori:
- Agama Islam – agama yang hanya diikuti oleh orang Islam
- Nilai-nilai Islam – bersifat universal, orang bukan Islam boleh menghidupkan nilai-nilai Islam, contohnya menjaga kebersihan dan mentaati ibubapa.
Definisi sastera Islam Alatas adalah sastera yang menguatkan ajaran Islam khusus buat umat Islam dan umum buat umat manusia. Terangkum dalam sastera Islam adalah peristiwa alam dan kejadiannya yang dihubungkan dengan Tuhan. Sastera yang menyeleweng dan melanggar ajaran Islam seperti Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu tidak boleh dianggap sebagai sastera Islam. Jika sesuatu karya dikarang oleh orang bukan Islam tetapi didalamnya membesarkan nilai-nilai Islam, maka karya itu dianggap sebagai sastera Islam. Contohnya karya yang menguatkan pendapat akan keperluan berbuat baik pada ibubapa, ini adalah nilai Islam meskipun jika ia ditulis oleh orang bukan Islam.
Tujuan sastera menurut Alatas adalah untuk memperjuangkan taraf kesedaran yang tinggi tentang persoalan hidup manusia. Bagi Alatas, sastera mempunyai musuh, musuhnya adalah yang menghalang tujuan ini tercapai. Ini termasuklah pemikiran feudalisme, pemikiran perkauman, pemikiran yang memadamkan semangat usaha orang Melayu, serta pemikiran agama yang sempit.
Manusia Baharu Dalam Masyarakat Islam
Perubahan zaman masa kini melahirkan empat jenis Muslim yang berfikiran baharu yang digelar Alatas sebagai “Manusia Islam Baharu”, dari awal beliau telah mengeluarkan orang-orang yang berfikiran seperti Maulana Abul Ala Maududi sebagai orang yang kolot dan tidak termasuk dalam manusia baharu Islam. Beliau menggunakan tokoh-tokoh politik Indonesia dalam menerangkan empat jenis manusia ini.
- Presiden Ahmad Sukarno (1901-1970)
Menurut Alatas, Sukarno bersungguh-sungguh mempelajari Islam semasa dalam buangan di Endeh, Flores. Beliau berusaha mendapatkan buku tulisan Syed Ameer Ali, The Spirit of Islam. Beliau adalah Manusia Baharu Islam yang sedar tentang Islam, sangat menghargainya namun tidak bergabung dengan gerakan Islam, dan tidak memusatkan usaha pemikirannya dalam lingkungan keislaman. Sukarno memilih aliran nasionalisme namun dalam soal agama berpegang teguh dengan ajaran Islam.
- Sutan Syahrir (1909-1966)
Syahrir adalah Perdana Menteri Indonesia yang pertama. Bagi Alatas, Syahrir adalah “pokok yang terlepas dari akarnya”. Beliau boleh dikatakan Islam pada nama namun jiwanya sudah ditawan humanisme Barat dan tidak lagi memerhatikan soal-soal keislaman seperti Sukarno. Walaupun mengkritik pemikiran Syahrir, Alatas tetap bersimpati pada perjuangan beliau, dan memuji sebahagian dasar-dasar beliau yang sesuai dengan dasar Islam.
- Ibrahim Datuk Tan Malaka (1897-1949)
Jenis manusia baharu Islam ketiga ini mendapat kritikan yang keras dan panjang oleh Syed Hussein Alatas, beliau bukan sahaja menulis kritikan beliau pada Tan Malaka, malah Hamka yang menulis pujian pada Tan Malaka dalam naskah Madilog turut dikritik dengan begitu panjang dan penuh sarkastik oleh Syed Hussein Alatas.
Hamka menulis kata pengantar bagi Madilog pada cetakan ke-5 pada tahun 1951. Di dalam kata pengantar itu Hamka memuji pemikiran Tan Malaka yang menurutnya berijtihad. Bagi Alatas ini sangat membingungkan. Bagaimana seorang komunis boleh dikatakan berijtihad? Ijtihad perlu didasari Al-Qur’an sedangkan Tan Malaka menganut fahaman dialektik materialisme Marx yang menolak Tuhan. Alatas menduga sama ada Hamka tidak membaca Madilog, kalau pun dibaca mungkin beliau tidak faham apa yang dikatakan Tan Malaka.
Tan Malaka memuji buku Karl Kautsky yang ingin mengguling kepercayaan agama, ini lebih memeningkan Alatas bila Hamka menyatakan Tan Malaka mencintai Islam. Bagi Alatas, Hamka telah mencium bunga beracun dari taman Tan Malaka.
Di manakah kedudukan Tan Malaka menurut Alatas?
Beliau menganalisa dan memetik tulisan dan ucapan Tan Malaka, dan membuat kesimpulan bahawa Tan Malaka telah meninggalkan Islam namun dia tidak membenci Islam dan masih memberikan perhatian pada Islam. Tan Malaka menganut fahaman Komunis yang berasaskan falsafah dialektik materialisme. Perhatian yang diberikan Tan Malaka terhadap Islam menurut Alatas adalah atas dasar politikal, bagi mendapatkan sokongan masyarakat kerana fahaman Komunis yang belum kukuh di nusantara. Bagi Alatas, pendapat baik Tan Malaka terhadap Islam dan Nabi Muhammad adalah muslihat halus, matlamat akhir Tan Malaka adalah menggulingkan Islam.
Tan Malaka juga melihat manusia sebagai sumber nilai baik dan buruk, bukan Tuhan, kefahaman ini berakar dari humanisme, juga faham relativisme yang dikritik Alatas pada babnya yang pertama. Strategi Tan Malaka dalam merobohkan Islam menurut Alatas bersumberkan tulisan Plekhanov, di mana strategi ini mengambil kira keadaan setempat. Namun Tan Malaka tidak boleh mengistiharkannya secara terbuka seperti Plekhanov kerana beliau menulis untuk masyarakatnya yang belum Komunis.
Walaupun mengkritik hebat fahaman dialektik materialisme Marx perihal ketuhanan, Alatas masih adil dan rasional dalam menimbang Marxisme. Bagi beliau seorang Muslim tidak boleh menjadi Marxis sejati kerana ada fahaman penolakan Tuhan dan fahaman relativisme. Namun ini tidak bererti kita tidak boleh mengambil perkara-perkara baik yang lain yang dimajukan oleh Marxisme seperti kritiknya terhadap kapitalisme dan idea-idea ekonomi. Contohnya idea membanteras kemiskinan ekonomi, ini selari dengan Islam dimana kemiskinan itu dianggap mendekatkan seseorang kepada kekafiran.
- Syafruddin Prawiranegara (1911-1989)
Manusia Islam Baharu terakhir yang diketengahkan oleh Alatas adalah insan seperti Syafruddin – seorang yang menjadi ahli dalam satu bidang ilmu masyarakat serta berusaha mengaitkannya dengan dasar-dasar Islam. Syafruddin adalah ahli ekonomi, dan beliau membawa pemikiran Islam masuk ke dalam bidang ilmunya. Walaupun ekonomi boleh dijalankan oleh manusia, namun ekonomi tidak memberi tujuan bagi manusia berekonomi, di sini hadir peranan agama dalam memberi panduan perihal tujuan kita berekonomi. Begitu juga cara kita berekonomi, tanpa agama, ekonomi menjadi alat yang menindas, dengan agama manusia diajar takut pada Tuhan dan menghindari sikap tamak. Bagi Alatas, jenis manusia Islam baharu yang ke-4 inilah yang diperlukan masyarakat Islam untuk maju. Manusia yang mahir dengan ilmu zaman sekarang, tetapi tidak melepaskan panduan agama, ilmu dan agama itu dihubungkan.
Pencerahan Dari Cahaya Rasionalisme
Rasionalisme yang menggunakan kekuatan akal sangat diperlukan untuk membina sistem hidup agama menurut Alatas. Ia adalah alat, yang jika digunakan dengan betul dapat membawa kebaikan. Tujuan tertinggi Islam bagi manusia adalah untuk melahirkan manusia yang mempunyai karakter al-Insan al-Kamil.
Menurut Alatas, sains tidak dapat berdiri sendiri. Sebagai contoh, sains tidak dapat memberi manusia tujuan hidup, sedangkan tujuan hidup sangat penting untuk manusia. Kemajuan sains juga bagi Alatas, tidak bermakna manusia telah berjaya dari sudut moral. Saya kira apa yang diutarakan oleh Alatas ini mirip apa yang diutarakan Francis Fukuyama dalam bukunya The End of History and the Last Man. Fukuyama menyatakan bagaimana masyarakat Jerman yang begitu hebat di sudut teknologi, budaya dan falsafah pada era Nazi, merosot menjadi bangsa pembunuh yang sangat dahsyat. Bagi Fukuyama, kemajuan moral sangat penting seiring kemajuan teknologi.
Walaupun akal itu penting, akal juga mempunyai beberapa kelemahan menurut Alatas. Antaranya:
- Akal adalah sebahagian dari fakulti manusia. Ada fakulti lain yang kuat pengaruhnya pada manusia yang tidak dapat dipuaskan hanya dengan akal.
- Akal manusia mempunyai daerah yang terbatas, ia hanya boleh digunakan dalam daerah zahir.
- Seluruh jiwa manusia tidak bergerak hanya dengan akal. Agama bukan hanya merangkumi intelek, ia lebih dari itu, ia dapat menguatkan perasaan hidup manusia melebihi falsafah dan ilmu pengetahuan. Malah menurut Arnold Toynbee, ilmu dan falsafah itu lahir dari agama.
Pesanan Syed Hussein Alatas Buat Pemuda
Pemuda Islam tidak boleh hanya membaca buku karangan orang Islam. Sikap membaca buku dalam sudut pandang satu agama dan aliran sahaja sangat merugikan umat Islam dan tidak mengembangkan ilmu. Dalam sejarah, umat Islam tidak mempunyai ilmu falsafah pada mulanya, namun apabila Islam tersebar, mereka mempelajarinya dari sumber-sumber luar dan berjaya mengembangkannya sehingga maju. Bagi Alatas, ada golongan berfikiran kolot tidak mahu pemuda menuntut keilmuan Barat, kerana mereka takut kehilangan pengaruh dan tidak lagi dapat mengawal orang-orang muda. Bagi Alatas, untuk selamat, kita perlu belajar kedua-dua jenis ilmu, ilmu ubat-ubatan dan ilmu racun, supaya nanti dapat kita bezakan dan mengelak diri dari terkena racun.
Antara anjuran lain Alatas adalah perlunya kerjasama antara orang Islam dan Nasrani, kerana mereka mempunyai common ground dengan umat Islam terutamanya dalam soal pengiktirafan tentang wujudnya Tuhan. Anjuran beliau ini saya kira ada juga diutarakan oleh cendiakawan moden seperti Dr. Ali Ataie. Kerjasama ini bukanlah perkara baharu, ia terkandung dalam sirah. Contohnya bagaimana Nabi Muhammad SAW menyertai perjanjian Hilf al-Fudhul, dan tetap menghargainya selepas lahirnya Islam. Begitu juga peristiwa 14 rombongan bangsawan Nasrani dari Najran yang dibenarkan oleh Nabi untuk bersembahyang di Masjid Nabi walaupun berlainan agama.
Kritikan Terhadap Manifesto Pilihanraya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 1978
Kritikan ini adalah bahagian akhir dalam naskah ini. Secara kasarnya, Alatas mengkritik manifesto PAS yang baginya terlalu umum dan tidak mendalam penerangannya perihal solusi bagi masalah yang diketengahkan. PAS cuba membawa penyelesaian masalah pengemis, namun ini menurut Alatas satu prioriti yang silap, yang harus diselesaikan adalah punca manusia mengemis iaitu pengangguran. Beliau juga mengkritik cadangan PAS untuk menghapuskan bunga dalam pinjaman. Pada pandangan beliau ini akan menjejaskan pulangan bagi Kumpulan Wang Simpanan. Namun menurut saya cadangan PAS ini merupakan cadangan yang viable, cuma mungkin tiada perincian. Contohnya hari ini, pencarum KWSP boleh memilih akaun patuh syariah.
Ada juga pernyataan Alatas yang saya kira ganjil jika ditinjau secara umum. Beliau menulis:
“Memang Islam melarang riba. Riba yang dilarang adalah riba dalam hubungan yang menindas, yang melampaui batas, yang menghisap darah perseorangan.”
Persoalan yang bermain di fikiran saya, adakah wujud jenis riba yang tidak menindas?
Kesimpulan
Pada pandangan saya, banyak pendapat-pendapat Alatas dalam buku ini bersifat serdehana. Antara perbahasan yang saya kira sangat bernas adalah perihal falsafah sains – tentang bagaimana sains dapat menerangkan bagaimana alam berfungsi namun tidak dapat menjelaskan tujuannya. Klasifikasi yang dibuat oleh Alatas perihal agama Islam dan nilai-nilai Islam dalam memberikan definisi pada Sastera Islam juga menurut saya sangat mencerahkan, ia adalah satu konsep yang dicerakinkan dengan baik dan mudah difahami. Alatas merupakan pemikir yang menyambung aliran fikir Syed Jamaluddin al-Afghani dan Amir Syakib Arsalan, perihal perlunya umat Islam mengharmonikan ilmu pengetahuan Barat dengan asas-asas agama Islam untuk maju ke hadapan. Pandangan ini mengetengahkan idea bahawa umat Islam perlu menjadi moden tapi tidak perlu menjadi Barat. Kritikan yang dibuat ke atas Tan Malaka dan Hamka bagi saya adalah yang paling mencuit hati terutamanya pilihan bahasa sarkastik yang digunakan. Namun kritikan beliau bukanlah kritikan kosong, beliau dengan teliti membedah pemikiran Tan Malaka juga sumber-sumber yang digunakannya. Satu persatu dipersembahkan dan diterangkan di mana masalahnya. Secara dasarnya saya bersetuju akan anjuran Alatas bahawa perlunya kita melahirkan “manusia Islam baharu” yang berani berfikir, menguasai ilmu zaman dan menghubungkannya dengan agama Islam.
Buku ini ada dibincangkan bersama Kelab Jurnalisma Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, boleh ditonton disini. Untuk mendownload artikel ini, klik disini.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.