Edward Carr dalam bukunya ada menulis tentang bagaimana membaca membuatkan beliau itching to write. Semakin banyak dia membaca, semakin gatal tangannya mahu menulis. Belum pun sebuah buku itu habis dibaca, beliau sudah memulakan penulisannya. Perasaan yang sama muncul apabila saya membaca zine renung. dialektika jalanan. Seperti Carr, zine ini melahirkan kegatalan pada tangan saya untuk tangan menulis. Selesai membaca 20 muka surat pertama sahaja sudah menimbulkan pelbagai jenis fikir, bagi saya itulah tanda bahawa sesebuah penulisan itu tulisan yang baik, ia mampu membuatkan manusia berfikir.
Jika Fukuyama menulis tentang berakhirnya sejarah, naskah zine renung ini dimulakan dengan persoalan kecerdasan buatan yang membuatkan manusia kurang berfikir. Kecerdasan sintetik yang dicipta untuk memudahkan urusan manusia, berpotensi menjadi pemula kepada berakhirnya pemikiran. Ini merupakan satu sisi pandang yang menarik bagi saya, kerana sebenarnya memang manusia memerlukan sedikit kepayahan, itulah tolakan yang membuatkannya belajar. Perkara-perkara yang senang didapati, senang juga dilupakan. Dengan kemudahan yang datang bersama teknologi dan kecerdasan sintetik ini, manusia tidak perlu lagi bersusah payah untuk berfikir. Segala maklumat boleh diperolehi di hujung jari.
Namun adakah maklumat itu boleh disamakan dengan ilmu atau kecerdasan? Jika kita membaca tulisan Carr, beliau menolak pemikiran sebegini dalam bidang sejarah. Bagi Carr, tugas ahli sejarah bukan sekadar mengunpulkan fakta. Saya kira permisalan yang sama dapat kita berikan dalam soal kecerdasan fikir kita hari ini, sekadar mampu mencari maklumat, dan mengumpul maklumat, tidak menjadikan seseorang itu ilmuan atau pemikir.
Kita sekarang berada dalam era limpahan informasi. Kita tahu semuanya. Persis apa yang diungkapkan oleh wartawan yang juga merupakan seorang sarjana sejarah, Robert Fisk, apabila kita mengetahui semuanya “you know about everything, and everything about nothing”. Bagi Fisk, apa yang penting bukanlah mengetahui semuanya, tetapi mengetahui sesuatu dengan mendalam dan mendasar. Untuk mencapai hal ini, ia memakan masa dan juga tenaga dalam membuat pengkhususan. Perkara ini merupakan sesesuatu yang tiada hari ini. Hari ini kita tahu segala-galanya. Kita tahu kawan kita beli kereta apa, siapa yang bercerai semalam, kawan kita melancong di mana, artis mana yang baru berkahwin, apa ahli politik kata semalam, pergaduhan makcik di taman sebelah, semua ini diberitakan melalui media sosial. Tetapi semua pengetahuan ini untuk apa?
Kewujudan dunia sosial juga mewujudkan realiti virtual di mana sudut pandang manusia berubah dari mementingkan kehidupan mereka sendiri kepada kehidupan di alam virtual yang kebanyakannya tiada kena mengena dengan hidupnya. Maka disini saya kira kehadiran zine renung ini tepat, dalam membawa aspek perenungan, kerana dalam dunia yang serba laju dan sesak ini, perenungan itu tiada. Tiada masa untuk merenung dan berfikir, walhal itulah yang membuatkan manusia itu berasa hidupnya punya makna. Melalui contemplation dan muhasabah. Ibnu Tufail dalam novel falsafahnya membawakan tema solitude, yang saya kira merupakan tema yang sama, iaitu perenungan dalam mencari makna sebenar kehidupan. Tanpanya kita berkejar-kejar, bersibuk-sibuk, bersesak-sesak, tanpa fikiran yang dalam, hingga di hujungnya, kita penat tanpa menemukan sebarang makna.
Dalam aktiviti perenungan ini juga, disebut di dalam zine ini perihal bagaimana akal yang memberikan makna kepada teks-teks yang kita baca. Saya kira pernyataan ini begitu cocok sekali dengan apa yang disebutkan oleh Bart Ehrman dalam bukunya, bahawa manusialah yang memaknai teks. Begitu juga pandangan Carr terhadap fakta sejarah, fakta tidak mampu bercakap sendiri, ia memerlukan manusia untuk bercakap perihalnya. Izzuddin Khalis dalam zine renung ini mengajak manusia untuk tidak mendiskriminasikan bahan bacaan, bukan bentuk itu yang penting, baik buku, artikel digital, mahupun tulisan pada helaian papyrus, tetapi yang penting adalah kefahaman manusia, renungannya kepada sebuah teks, dan bagaimana ia memberi makna kepada kehidupannya.
Dialog Sebagai Metodologi Pengembangan Ilmu
Selain renungan, zine renung turut menyentuh akan persoalan dialog melalui tulisan Wildan al-Ghazali. Walaupun Wildan mengaitkan dialog dengan Barat, serta kemungkinan bahawa ia berasal dari Islam, saya berpandangan metod dialog ini lebih kuno dari terma “Barat” itu sendiri, malah ia pastinya telah wujud sebelum kedatangan Islam di semenanjung Tanah Arab. Namun bukan niat atau minat saya untuk memperdebatkan dimana dialog itu bermula, besar kemungkinan ia telah bermula sejak wujudnya manusia.
Saya kira apa yang lebih penting untuk kita kupaskan adalah peranan dialog itu sendiri. Dalam hal ini saya bersetuju dengan Wildan bahawa tujuannya adalah untuk kita saling mengerti. Jika menggunakan metodologi renung, kita mendengar suara dalaman kita dalam mencari makna, dengan metodologi dialog, kita mencari makna dengan mendengar suara orang lain. Di sini bagi saya merupakan peranan dialog dalam pengembangan ilmu, jika renungan memberi kita satu makna, dialog mencambahkan pelbagai makna. Kerana Tuhan menciptakan setiap manusia dengan penuh keunikan dan perbezaan, melalui dialog mereka dapat bertukar-tukar renungan. Hal ini tentulah mengayakan pemikiran, mencambahkan idea, dan dengannya kita dapat mengetahui renungan orang lain yang mungkin tidak berjaya kita capai melalui renungan kita bersendirian.
Dalam metod dialog, antara elemen yang penting adalah membangkitkan persoalan. Membangkitkan persoalan tidak semestinya kita mengetahui jawapannya. Seperti yang ditulis dalam zine renung ini oleh Hamzah Handzalah. Dengan bertanyakan soalan, kita dapat membangkitkan renungan dalam diri orang-orang yang membaca atau mendengar persoalan kita. Dalam dialog dan membangkitkan soalan juga, kita perlu bersedia mendengar, kita perlu berusaha menangguhkan kesimpulan (delay judgement), kerana apa yang kita mahukan adalah pengertian dan kefahaman. Jika kita tidak membuka ruang mendengar dalam diri kita, sejak awal kita sudah membina benteng, kita tidak akan belajar. Sebaliknya kita akan mendengar apa yang kita mahu dengar sahaja, membaca apa yang sesuai dengan selera kita dan kita tidak akan pernah mencabar minda kita. Proses pembelajaran adalah proses kita mengubah fikir, jika seseorang itu tidak berani mengubah fikir, atau fikirannya sama sahaja dari muda hingga ke tua, maka dia sebenarnya tidak pernah belajar apa-apa.
Hamzah juga menulis peri penting kita membuat refleksi dan berusaha untuk mencari kebenaran. Bukan sekadar menerima apa sahaja yang diberikan kepada kita tanpa melalui proses fikir. Saya sangat setuju dengan Hamzah, sememangnya kita manusia adalah pencari kebenaran, kita mahu mengetahui kebenaran. Sebab itu di dalam buku Lalang di Lautan Ideologi saya mengajak pembaca untuk menggantung ketaksuban terhadap mana-mana perspektif ideologi, kerana bagi saya ini akan menganggu kita dalam perjalanan mencari kebenaran. Bukanlah bermakna ideologi itu tiada fungsi, namun dalam soal mencari kebenaran, kita perlu berani mencapainya sekiranya ia diluar ideologi kita. Ia memerlukan refleksi yang bebas dan objektif, serta proses fikir yang kritikal.
Bagi Hamzah, ada sebab mengapa Tuhan tidak memberikan satu panduan yang lengkap dan terperinci dalam semua masalah. Menurut beliau, ini adalah kerana agama mahu membebaskan akal manusia. Ia adalah tanda bahawa agama mengiktiraf akal, agama tidak memenjarakan akal. Agama itu sendiri melalui proses fikir yang panjang, ia mempunyai sejarah yang panjang. Di dalam sejarah yang panjang itu, tidak sedikit akal manusia digunakan oleh ilmuan, ulama, dan sarjana dalam menyelesaikan masalah-masalah baru umat.
Kesimpulan
Akhirnya di hujung malam ketiga membelek zine renung ini, akhirnya saya tiba di hujung bacaan. Telah saya kupas beberapa inti yang saya kira menarik yang dapat saya tekuni dalam naskah kecil ini. Walau bagaimanapun, kupasan saya ini adalah cebisan kecil sahaja dari intinya, terdapat banyak lagi isi yang boleh diulas seperti puisi dan juga cerpen yang dimuatkan. Saya sejujurnya berasa kagum dengan penulisan ini, walaupun banyak yang boleh dipertingkatkan lagi, ia adalah satu usaha yang luar biasa dari anak muda. Membaca buah fikir anak muda bagi saya memang sesuatu yang menyegarkan, dan jika mereka menulis pada usia yang muda, saya fikir, jika ia dilakukan dengan konsisten, kita akan dapat merasakan buah-buah penulisan yang lebih ranum dan matang di masa hadapan. Tema-tema yang diangkat juga pada saya menampakkan kematangan fikir yang baik, dan saya pasti, jika mereka terus membajanya, ia dapat dikupas dengan lebih dalam dan mendasar lagi selepas ini. Tema-tema seperti renungan, fikiran, dialog, dan persoalan, bagi saya merupakan tema-tema fundamental bagi kita dalam membentuk metodologi fikir yang lebih kritis dan mendalam. Dengan metodologi ini, saya yakin, kita dapat mencari dan memberi makna kepada satu perkara yang diberikan kepada kita.
Iaitu, kehidupan.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.