Tulisan ini merupakan ulasan kepada buku bertajuk The New Silk Roads: The Present and Future of the World tulisan Peter Frankopan.[1] Berdasarkan tinjauan saya, buku ini mendapat banyak ulasan negatif terutamanya dari pembaca yang telah membaca buku Frankopan sebelum ini yang bertajuk The Silk Roads: A New History of the World.[2] Saya tidak membaca buku Frankopan yang pertama tersebut. Kebanyakan pengkritik mengkritik bahawa buku ini sepertinya banyak mengumpulkan fakta-fakta berdasarkan survey terbaharu, namun tidak dilakukan analisis yang memberikan kefahaman yang bermakna. Corak penulisan ini mirip apa yang dikritik oleh E.H. Carr yang menyanggah bahawa sejarah bukanlah satu penulisan yang sekadar mengumpulkan fakta. Jika sekadar mengumpulkan fakta, sejarah yang ditulis akan menjadi sangat membosankan, lebih berbentuk ensiklopedia berbanding satu penulisan sejarah yang mempunyai analisa yang segar.[3]
Saya merasakan kritikan sebegini ada benarnya, terutamanya dalam bab The Roads to the East dan The Roads to the Heart of the World. Dua bab awal ini sangat pekat bentuk pengumpulan surveynya dan kurang analisis. Ia agak hambar. Namun untuk berlaku adil kepada Frankopan, saya merasakan bab-bab seterusnya sedikit seimbang walaupun corak pengumpulan survey itu masih ada.
Membaca buku ini mengingatkan saya akan sebuah buku yang ditulis oleh T.R. Reid yang pertama kali diterbitkan pada tahun 2004.[4] Reid dalam bukunya memuji kesatuan Eropah yang dilihat semakin bersatu dan berpadu. Namun buku Frankopan ini seolah-olah sebuah revisi yang menyanggah analisa Reid, pergerakan geopolitik terbaharu menyaksikan Eropah tidaklah menuju kesatuan tetapi perpecahan. Hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila Britain secara formal keluar dari Kesatuan Eropah pada tahun 2020, selepas referendum yang diadakan pada 2016. Ini merupakan petanda bahawa hilangnya kepercayaan kepada projek Kesatuan Eropah. Bagi Frankopan, ketika Eropah dan Amerika Syarikat berpecah dan bergerak menuju isolasi, negara-negara Asia di Jalan Sutera memilih untuk bersatu dan bekerjasama.
Selain Britain, semangat anti-Kesatuan Eropah juga dilihat semakin memuncak di negara-negara seperti Itali, Jerman, Poland, dan Hungary. Dalam masa yang sama terdapat juga beberapa entiti yang menuntut kemerdekaan seperti Scotland dan Catalonia. Semua ini menunjukkan keadaan Eropah yang berputar semula ke belakang. Kembali membina sempadan dengan retorik-retorik slogan seperti ‘mengambil alih semula kuasa’ kedengaran di dalam masyarakat. Semuanya mahu kembali ke arah perpisahan bukan kesatuan.[5]
Dalam tulisan ini saya akan memetik beberapa tulisan Frankopan yang saya kira menarik untuk ditinjau, diperhalusi, diperkembangkan, dan difikirkan.
Frankopan sendiri merupakan seorang ahli sejarah, oleh itu adalah adil untuk menilai dan mengkritik tulisan beliau sebagai bahan sejarah. Menurut Frankopan, sejarah adalah satu subjek yang menarik kerana ia membangkitkan perasaan keterujaan dalam diri manusia. Keterujaan ini lahir apabila manusia dapat berfikir dengan cara yang berbeza yang membolehkan dia membuat perkaitan antara manusia, kedudukan geografi, dan idea.[6] Saya kira saya bersetuju dengan pandangan beliau ini. Sejarah membantu kita melihat perkaitan-perkaitan yang ada di dunia yang jika tidak dikaji secara dekat kelihatan seperti kebetulan-kebetulan sahaja. Namun kebetulan yang dilihat dengan mata kasar ini, jika dikaji dengan teliti selalunya menampakkan bagaimana sejarah berfungsi dalam membentuk pertalian antara sesama manusia dan masyarakat.
Menurut Frankopan, antara pemain geopolitik utama yang kembali menghidupkan Jalan Sutera baharu adalah negara China. Hal ini terjadi kerana kejayaan China dalam sudut ekonomi dan perkembangan GDP. Sejak tahun 1980, polisi ekonomi China berjaya menaikkan 800 juta orang rakyatnya dari paras kemiskinan.[7] Namun kejayaan ekonomi China ini tidaklah dicapai tanpa sebarang kos. China malah berani melakukan polisi yang dilihat begitu kejam dan menjadikan manusia sebagai bahan eksperimen sosial seperti polisi jihua shengyu yang lebih dikenali sebagai Polisi Satu Anak. Polisi ini telah dikritik hebat oleh pengkaji seperti Mei Fong yang membangkitkan bagaimana polisi ini melahirkan generasi tua, kekurangan tenaga kerja, ketidaksamaan jantina (ramai yang memilih anak lelaki), juga pelbagai trauma emosi hasil pemaksaan polisi yang keras.[8] Namun jihua shengyu ini akhirnya ditamatkan pada penghujung tahun 2015.[9]
Polisi-polisi antagonistik kuasa besar seperti Amerika Syarikat menurut Frankopan telah melahirkan kesan-kesan yang tidak dijangka terutamanya pada negara-negara di Laluan Sutera seperti Iran. Kesan dari tekanan yang dihadapinya telah menyebabkan kelahiran banyak syarikat-syarikat start-up yang menggunakan teknologi-teknologi baharu.[10] Strategi untuk melawan Iran yang diketuai oleh Amerika Syarikat juga telah menyebabkan lahir persekutuan antara negara yang selama ini kelihatan bertentangan. Arab Saudi misalnya menjadi semakin dekat dengan Israel yang merupakan sekutu Amerika Syarikat. Sehingga mufti Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa Muslim tidak sepatutnya melawan Israel dan membunuh orang Yahudi, beliau juga mengatakan bahawa Hamas adalah organisasi pengganas.[11] Namun Iran bukanlah sebuah negara yang mudah ditundukkan. Salah satu kekuatannya adalah lokasinya yang strategik yang mengawal Selat Hormuz yang merupakan laluan utama import minyak dari Timur Tengah. Disini kita melihat bagaimana keadaan geografi memainkan peranan yang besar dalam percaturan geopolitik seperti yang ditulis oleh Tim Marshall.[12]
Selain Brexit yang menunjukkan ahli kesatuan Eropah sendiri hilang kepercayaan kepada Eropah, ideologi liberal Barat juga semakin tidak diterima oleh negara-negara dunia. Terutamanya melihat bagaimana negara-negara Timur dihancurkan dalam perang menggunakan persenjataan Barat seperti di Libya, Yaman, Syria, Afghanistan, dan Iraq. Ode Antarabangsa dilihat hanya menguntungkan negara-negara Barat tetapi mengekang kemajuan negara-negara Timur.[13] Projek imperial Amerika Syarikat dalam menyebarkan demokrasi melalui perang juga adalah sebab mengapa kepercayaan kepada sistem demokrasi liberal yang dipromosikan Barat dilihat semakin buruk, hodoh dan sukar diterima.[14]
Menurut Jiang Shigong, peradaban Barat dibina diatas tradisi falsafah teologi yang bersifat binari dan antagonistik.[15] Sebab itu kita melihat peradaban Barat tidak boleh melihat kuasa lain yang lebih berjaya daripadanya. Sentiasa mereka mahu menghancurkan orang lain yang lebih berjaya. Sikap ini boleh kita lihat dari penulisan Samuel P. Huntington yang menulis perihal perang antara peradaban.[16] Tulisan Huntington menjadi begitu popular kerana ia lahir ketika Amerika Syarikat sudah berjaya mengalahkan Soviet Union dan mereka mencari musuh baru. Menurut Frankopan, sikap suka bergaduh dan bermusuhan ini lahir dari kesan nostalgia yang sering memabukkan dan mempunyai kesan yang kuat. Nostalgia menyebabkan kita melihat sejarah melalui lensa yang romantik, kita memilih sejarah-sejarah yang bagus-bagus dan meninggalkan yang lain. Hasilnya timbul kepercayaan bahawa kita pernah menjadi begitu hebat bahkan ideal suatu ketika dahulu, dan usaha kita hari ini perlulah dibuat untuk kembali kepadanya. Menurut Frankopan, sikap ini sebenarnya salah dan terkeliru.[17]
Kejayaan China dalam membangun ekonomi dan ketamadunannya juga memperlihatkan bahawa teori berakhirnya sejarah seperti yang dipelopori oleh Francis Fukuyama sangat bermasalah. Bagi Fukuyama, sistem politik terakhir manusia adalah demokrasi liberal Barat.[18] Namun kejayaan China membuatkan manusia berfikir semua perihal Sosialisma, dan model kemodenan Barat bukanlah satu-satunya model yang ada, tetapi hanya satu pilihan dari pelbagai pilihan yang ada.[19] Jika China terus naik dan mendominasi, keunggulan model demokrasi liberal Barat bukan sahaja tercabar, malah mungkin berakhir.
Walaupun kita dibayangkan bahawa kita mempunyai sistem Antarabangsa, namun hakikatnya kita melihat bagaimana negara-negara yang kuat dan besar mengambil apa yang mereka mahu, dalam masa yang sama mereka bersifat hipokrit dan mengarahkan negara-negara yang lemah mematuhi peraturan Antarabangsa yang mereka sendiri tidak patuhi. Disini, satu persoalan menarik muncul. Siapakah yang ingin mewujudkan satu peraturan yang memberi kelebihan pada orang lain dan bukan diri mereka sendiri?[20] Inilah yang dilihat pada peraturan Antarabangsa dimana negara-negara kecil dipaksa mematuhinya sedangkan negara besar bebas melakukan apa sahaja, dalam kata lain might makes right. Sebab itu kita melihat Israel tidak pernah didakwa atas jenayah perang mereka, kerana ia dilindungi kuasa besar seperti Amerika Syarikat.
Walaupun buku ini diterbitkan oleh penerbit antarabangsa, Bloomsbury, buku ini terdapat banyak kesalahan ejaan. Mungkin yang paling terserlah dari kaca mata pembaca Malaysia adalah ejaan bagi seorang menteri yang bernama Darell Leiking, namun dalam naskah ini ditulis sebagai ‘Daell Leiking’.[21] Selain kesalahan ejaan bahasa, saya turut merasakan ada beberapa kesalahan prediksi yang dibuat oleh Frankopan, terutamanya dalam mengatakan bahawa teknologi seperti Blockchain dan Ethereum akan mengubah cara manusia hidup, bekerja, dan berkomunikasi. Teknologi-teknologi seperti ini bagi saya lebih banyak hype berbanding mempunyai kesan yang signifikan terhadap kehidupan harian manusia.[22]
Kesimpulan
Penulisan Frankopan terutamanya perihal kebergantungan antara negara dalam era globalisasi pada pandangan saya mirip dengan penulisan Thomas Friedman.[23] Dimana hubungan antara negara-negara bersifat berselingkaran, ia bukan hubungan satu hala yang mudah difahami. Gangguan yang dibuat kepada sebuah negara bukan hanya akan memberi kesan kepada negara yang diganggu, malah kepada semua negara-negara lain dalam hubungan ekonomi global yang berseliratan. Malah kesannya mungkin bersifat sebaliknya dan memburukkan keadaan negara yang menganggu itu sendiri. Contoh yang baik adalah sekatan-sekatan yang dibuat ke atas China untuk mengekang pembangunan ekonomi mereka, oleh kerana ekonomi China sudah terlibat dengan begitu mendalam di dalam ekonomi antarabangsa, sekatan ke atas China bukan sahaja memberi kesan buruk pada ekonomi dunia, malah ia memberi kesan buruk kepada mereka yang melakukan sekatan itu sendiri.
Saya merasakan buku Frankopan ini sememangnya dari satu aspek banyak mengumpulkan fakta, data, dan survey tanpa analisa yang cukup. Namun untuk berlaku adil, pada bab-bab seterusnya sedikit sebanyak ada dilakukan penafsiran ke atas fakta. Namun saya melihat fokus buku ini seperti terkeluar dari tajuk perbahasannya, iaitu Jalan Sutera Baharu. Sebaliknya ia banyak membahaskan kenaikan China sebagai kuasa besar dunia baharu dalam masa yang sama membahaskan bagaimana kuasa dunia lama seperti Amerika Syarikat cuba untuk memberi reaksi terhadap kenaikan China ini. Perbahasan terhadap Jalan Sutera dibuat secara tinjauan umum sahaja tanpa adanya ulasan yang betul-betul berguna dan bermanfaat. Frankopan tidak menyempitkan definisi apa yang dimaksudkan beliau sebagai ‘Jalan Sutera Baharu’, sebaliknya ia diberikan satu takrifan umum, sehingga ia dimaksudkan sebagai semua mod pengangkutan, hubungan dan komunikasi global di setiap batasan geografi, ini termasuk bahagian Eropah dan juga Carribean. Buku ini pada saya merupakaan bacaan ringan, sesuai dibaca jika kita mahu satu pembacaan yang mudah tanpa perlu banyak kontemplasi. Jika pembaca ingin mencari satu analisa yang mendalam perihal Jalan Sutera, sejarahnya, perkembangannya, juga impaknya kepada dunia, buku ini bukan merupakan buku yang sesuai untuk dibaca, kerana hal ini tiada dalam buku ini.
[1] Peter Frankopan. The New Silk Roads: The Present and Future of the World. Bloomsbury, 2019.
[2] Tinjauan ulasan-ulasan buku di Goodreads.com, lihat pautan https://www.goodreads.com/book/show/45020978-the-new-silk-roads
[3] E.H. Carr. What is History. Penguin Books, 1964. Lihat terutamanya dalam bab The Historian and His Facts, halaman 7-30.
[4] T.R. Reid. The United States of Europe: The New Superpower and the End of American Supremacy. Penguin Books, 2005.
[5] Peter Frankopan. The New Silk Roads: The Present and Future of the World. hlm. 222.
[6] Ibid. 7.
[7] Ibid. 25.
[8] Mei Fong, One Child: The Story of China’s Most Radical Experiment. Mariner Books, 2016.
[9] Peter Frankopan. The New Silk Roads: The Present and Future of the World. hlm. 33.
[10] Ibid. 39.
[11] Ibid. 85.
[12] Tim Marshall. Prisoners of Geography: Ten Maps That Tell You Everything You Need to Know About Global Politics. Elliott & Thompson, 2015.
[13] Peter Frankopan. The New Silk Roads: The Present and Future of the World. hlm. 125.
[14] Edward Luce. The Retreat of Western Liberalism. Abacus, 2018.
[15] Peter Frankopan. The New Silk Roads: The Present and Future of the World. hlm. 149.
[16] Samuel P. Hungtington. The Clash of Civilizations and the Remaking of World Order. Simon Schuster, 2011. (Pertama kali diterbitkan pada tahun 1996).
[17] Peter Frankopan. The New Silk Roads: The Present and Future of the World. hlm. 151.
[18] Francis Fukuyama. The End of History and The Last Man. Free Press, 2006.
[19] Peter Frankopan. The New Silk Roads: The Present and Future of the World. hlm. 274.
[20] Ibid. 171.
[21] Ibid. 259.
[22] Ibid. 263.
[23] Thomas L. Friedman. The World Is Flat: A Brief History of the Twenty-First Century. Picador USA, 2007.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.