Penulisan ini merupakan hasil dari perbincangan dalam sebuah forum yang bertajuk Revolving Youth Around Society yang memfokuskan isu memasyarakatkan mahasiswa dalam Seminar Kesejahteraan Mahasiswa (SKEMA) 2021. Pada forum ini saya berkongsi pentas dengan dua rakan panelis iaitu Dr. Siti Farhana binti Lokman dan Tn. Mohd Jamil bin Muda, dengan Saudara Muhammad Amirul Adli bin Azman sebagai moderator. Forum ini membincangkan konsep mahasiswa holistik. Mahasiswa holistik itu bukan sekadar mahasiswa yang cemerlang akademik tetapi mampu menyumbang pada masyarakat, perkara ini dibincangkan dengan teliti dalam forum ini. Dalam kertas kerja ini saya membincangkan langkah-langkah untuk menjadi mahasiswa holistik serta sedikit perkongsian pengalaman peribadi bersama komuniti semasa menjadi mahasiswa pada satu ketika dahulu.
Langkah-langkah untuk menjadi mahasiswa yang holistik?
Pertama sekali, mahasiswa tidak boleh lari dari tugas hakikinya, iaitu sebagai pencari ilmu. Mahasiswa perlu menjadi pencari ilmu yang enthusiastic, mencari ilmu ini bukan sahaja ilmu-ilmu di kelas-kelas kuliah, tetapi juga ilmu-ilmu lain, ilmu masyarakat, ilmu manusia, ilmu agama, semua ini perlu dicari mahasiswa yang holistik. Oleh itu kita bukan sahaja perlu aktif di dalam kelas dan kuliah tetapi juga kelas-kelas di luar kuliah.
Menuntut ilmu ini bukanlah satu perkara yang mudah, ia memerlukan masa, memerlukan tenaga fikir, malah kalau kita membaca sejarah, cendiakawan menyerahkan keseluruhan hidupnya untuk ilmu. Kata Imam Shafie dalam sebuah puisi yang bertajuk kabbir ‘alaihi:
“Sesiapa yang tidak pernah mengecapi pahit getir menuntut ilmu walaupun seketika, maka ia akan terjerumus ke dalam kehinaan kejahilan seumur hidupnya.”
Kemudian beliau menyambung lagi:
“Dan sesiapa yang tidak memanfaatkan masa mudanya untuk menuntut ilmu, maka bertakbirlah empat kali sebagai tanda kematiannya.”
Ada satu tulisan yang menarik oleh Usaid Asmadi, seorang mahasiswa Universiti Malaya dalam tulisan yang bertajuk Memerde(he)kakan Mahasiswa, beliau menggagaskan bahawa universiti itu lebih besar gedungnya dari putaran rutin kehidupan belajar, ia adalah masa emas yang harus digunakan untuk meneroka pelbagai perkara lain. Nasihat kepada pelajar baru ini bagi saya amat penting untuk membuka minda pelajar. Saya sendiri merasakan zaman universiti mengajar saya banyak perkara (selain akademik). Belajar berpesatuan, belajar bercakap dikhalayak, belajar menyelesaikan konflik, belajar bernegosiasi dengan universiti, dan yang paling penting belajar untuk hidup dan melihat kehidupan. Melihat kehidupan dengan lensa yang lebih besar dan luas.
Saya ada membaca buku bertajuk Kembara Darus Nawawi 1963, boleh cari buku ini dan baca sebelum memulakan pengajian. Zaman saya belajar dahulu buku ini masih belum ada. Selepas membaca buku ini, jika ditanya kepada saya, andai zaman mahasiswa boleh berulang apa yang saya nak ubah, saya nak membaca buku-buku dengan lebih rigorous dan simpan jurnal peribadi seperti Ustaz Darus. Sebab pengalaman belajar ini hanya sekali.
Akhir sekali, saya ingin memetik pemikiran Prof. Syed Hussein Alatas dalam bukunya Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah, kita sekarang berada dalam zaman yang baru dengan cabaran-cabaran yang baru. Jadi kita memerlukan “Manusia Islam Baharu”, mahasiswa yang menguasai ilmu zaman dan menghubungkannya dengan agama Islam serta menyelesaikan masalah-masalah dalam masyarakatnya. Mahasiswa tidak boleh hanya berkhayal dalam hal-hal teori dan forum-forum akademik. Tetapi dia mesti sedar dia mempunyai peranan terhadap masyarakatnya. Tidak boleh mahasiswa itu apabila dia bergraduasi dia merasa terpisah dengan masyarakat, dia merasa dia berada dalam golongan elit bijak pandai, sedangkan masyarakat adalah golongan tidak berpendidikan. Sebaliknya dia mesti merasa dia sebahagian dari masyarakat, ilmunya perlu menyelesaikan masalah masyarakat.
Jadi ini adalah bagi saya adalah langkah-langkah untuk menjadi mahasiswa yang holistik, kuat usahanya mencari ilmu, tidak memisahkan ilmunya dengan Islam, dan menjadi penyelesaian kepada masalah masyarakatnya.
Perkongsian pengalaman bersama dengan masyarakat dan komuniti
Saya mempunyai pengalaman yang lain sedikit dari mahasiswa lain kerana saya menyambung pengajian di luar negara, dan di negara yang jarang pelajar-pelajar Malaysia pilih, kebanyakannya akan memilih pergi ke United Kingdom tetapi saya dihantar belajar di Saint Petersburg, Rusia. Jadi komuniti saya adalah pelajar Malaysia, kemudian masyarakat Rusia secara umum, kemudian masyarakat Muslim Rusia secara khusus. Mungkin dalam ruang yang singkat ini saya tidak berkesempatan untuk menceritakan semua, jadi saya memilih dua aspek sahaja iaitu komuniti pelajar Malaysia dan masyarakat Muslim di Rusia.
Saya sejak awal lagi terlibat dalam kepimpinan pelajar semasa di Saint Petersburg, Russia. Di sana kami mendirikan persatuan pelajar sendiri iaitu Malaysian Engineering Student St. Petersburg (MESSP) di mana saya sendiri diberi amanah untuk menjadi presiden pada sesi 2010/2011. Menjadi pemimpin pelajar ini sememangnya merupakan satu pengalaman yang berharga, banyak pengalaman yang menarik seperti menguruskan pelajar, berkomunikasi dengan pihak universiti, kedutaan, menyambut menteri, menguruskan acara, semuanya merupakan pengalaman yang berharga.
Namun mungkin pengalaman atau momen yang paling berharga adalah bagaimana untuk meneruskan Tarbiyah Islamiyah di sebuah negara asing yang bukan majoriti Muslim. Oleh kerana kebanyakan pelajar Malaysia tertumpu di Moscow, saya berulang alik hampir setiap bulan menaiki kereta api ke Moscow bagi mengikuti program tarbawi pada tahun pertama. Perjalanan mengambil masa lebih dari 8 jam. Pada awalnya saya tiada keberanian untuk membentuk usrah bersama kawan-kawan kerana merasakan diri tidak layak. Ketika saya di tahun kedua baru saya mula memberanikan diri untuk membentuk usrah di St. Petersburg bersama adik-adik tahun 1. Selepas itu kawan-kawan se-batch pula bertanya mengapa tidak pernah mengajak mereka? Akhirnya alhamdulillah setiap batch di sana kami mempunyai usrah mingguan. Saya masih ingat pada peringkat awal, memang susah hendak dimulakan, kadangkala datang ke asrama adik-adik dan tidak berjaya membuat usrah dengan adik-adik. Rasa begitu sedih, pernah sekali saya mengadu pada ibu saya, ibu saya kata:
“Kalau buat usrah ni senang, semua orang buat”.
Kata-kata tersebut sangat mengesani diri saya, membuatkan saya lebih cekal, ditolak, tak menjadi, itu perkara biasa, yang penting cuba lagi. Ada satu hari, saya sangat sedih saya upload video di Youtube bertajuk “Sabarlah wahai hati” untuk memujuk diri. Video ini menjadi sangat terkenal sehingga dapat lebih 400,000 view.
Pengalaman terakhir yang saya ingin kongsikan adalah pengalaman bersama komuniti Islam di Rusia. Saya ada berkawan dengan pelbagai jenis teman, ada juga yang merupakan buruh dari negara-negara bekas Kesatuan Soviet yang mana hari ini diperintah oleh diktator yang keras dan kejam. Ada yang saya temui di masjid, ada yang saya temui di jalanan, malah ada yang menjemput saya bertandang dan tidur di tempat mereka. Kebanyakan yang menjadi buruh ini sangat kurang kesedaran Islam, minum arak perkara biasa, malah ada yang namanya “Muslim” tapi tidak pandai bersolat.
Satu hari selepas solat Jumaat di Masjid Sabornaya saya bertemu dengan seorang pakcik. Masjid Sabornaya ini adalah masjid yang terkenal di St. Peterburg, siap dibina pada tahun 1920 dan terletak di bahagian tengah kota berdekatan Stesen Metro Gorkovskaya. Saya bertemu pakcik tersebut di Stesen Metro, pakcik tersebut merupakan seorang buruh dalam masa yang sama dia mengajar Al-Qur’an secara percuma di Masjid. Dia mengajak saya ke kelasnya. Saya pun pergi ke kelasnya pada suatu hari, dan mendapati banyak pelajar-pelajarnya adalah buruh dewasa yang baru mula belajar alif ba ta. Apabila melihat saya lancar membaca Al-Qur’an mereka kagum, seolah-olah ia adalah satu benda yang luar biasa. Pakcik ini menerangkan bagaimana Islam di tekan di negara mereka sendiri, dia sendiri belajar Al-Qur’an secara underground secara percuma, dan dia merasakan tanggungjawabnya pula untuk mengajar secara percuma. Semangat pakcik ini sangat mengesankan saya, bagaimana seorang pakcik buruh biasa tidak berputus asa menjadi tali yang menyambung ajaran Islam ke generasi seterusnya, walaupun lawannya merupakan kuasa sekular yang menguasai negara. Dari beliau saya melihat sinar harapan buat agama ini.
Kesimpulan
Saya ingin menyimpulkan perkongsian saya dengan sebuah puisi.
Kita bertanya:
Kenapa maksud baik tidak selalu berguna?
Kenapa maksud baik dan maksud baik bisa berlaga?
Orang berkata “Kami ada maksud baik”
Dan kita bertanya: “Maksud baik untuk siapa?”
Sekarang matahari, semakin tinggi.
Lalu akan bertahta juga di atas puncak kepala.
Dan di dalam udara yang panas kita juga bertanya:
Kita ini dididik untuk memihak yang mana?
Ilmu-ilmu yang diajarkan di sini
akan menjadi alat pembebasan,
ataukah alat penindasan?
WS Rendra, Puisi Sajak Pertemuan Mahasiswa
Jakarta, 1 Disember 1977.
Puisi Rendra ini bagi saya merupakan satu puisi yang sangat berkuasa dan mengetarkan. Mengajak mahasiswa merenung kegunaan ilmunya, adakah ilmunya akan digunakan untuk kebaikan masyarakat, atau untuk kepentingan diri. Mempunyai tujuan baik sahaja menurut Rendra tidak cukup, harus ditanya baik itu untuk siapa. Ini adalah tugas mahasiswa, untuk menilai dalam masyarakat siapa yang menindas masyarakat di sebalik slogan-slogan “untuk rakyat” atau “untuk kebaikan”.
Allah berfirman:
“Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: ” Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”. (Surah Al-Baqarah 2:11)
Dari ayat ini kita fahami bahawa anjuran untuk bersifat kritis ini bukanlah original dari Rendra, tetapi telah lama disebut dalam Al-Qur’an sendiri. Di mana Allah menyebut akan orang yang mengatakan mereka berbuat kebaikan, namun hakikatnya dia berbuat kerosakan. Jadi sentiasa perlu ditanya, baik itu untuk siapa?
Tugas mahasiswa bukan sahaja untuk mencari ilmu, tetapi menggunakan ilmu sebagai alat kebaikan. Ilmu ini sifatnya neutral, sebagai alat, ia boleh digunakan untuk membuat kebaikan atau kerosakan. Mahasiswa tidak boleh hanya menerima apa yang diberikan kepada mereka, sebaliknya bersifat kritis dalam menilai. Jika dikatakan sesuatu itu baik, baik untuk siapa? Siapa yang mendapat manfaatnya? Sebagai mahasiswa kita harus bertanya pada diri, siapa yang mendapat manfaat dari diri kita jika kita adalah orang yang baik?
Tanpa sifat kritis dalam diri mahasiswa, mustahil kita dapat melahirkan mahasiswa yang holistik, yang bukan sahaja peka pada permasaalahan akademik tetapi juga masalah-masalah yang ada dalam masyarakatnya.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.