Di blok pembangkang hari ini kita lihat keadaan masih kucar-kacir. Pada mulanya mereka kelihatan konfiden, katanya ada 129 kerusi, kemudian katanya mahu mengumumkan calon perdana menteri untuk counter-coup dalam seminggu, namun selepas seminggu, hanya mampu tampil dengan permohonan maaf kerana tiada kata sepakat boleh dicapai, dalam kata lain mereka sekarang dalam impasse.
Dalam impasse ini kita melihat dua blok. Satu blok adalah blok realis yang mahukan Mahathir, sosok negarawan untuk diangkat sebagai perdana menteri kali ketiga. Hujah mereka, walaupun sudah berkali-kali kombinasi ini gagal, hanya dengan sosok negarawan ini mereka boleh mengumpul kerusi yang cukup. Walaupun pembaca yang cermat mungkin akan bersoalan, dimana mandat rakyat yang mereka laungkan jika kerusi tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan? Apa-apa pun, Parti Aksi Demokratik (DAP) dalam hal ini duduk bersama kelompok realis, dan apabila mereka telah menyatakan kedudukan mereka, Parti Amanah istiqomah mengekori rapat keputusan tuan mereka. Formula yang telah gagal pada 1998 dan 2020 harus dicuba lagi. Mantan Menteri Pendidikan yang gagal menghapuskan tol di Simpang Renggam juga duduk dalam lingkungan kem realis ini, maka beliau terpaksa menjaja “teori galah”.
Kem kedua adalah kem idealis, kem ini dipenuhi oleh ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu menaikkan Anwar Ibrahim. Antara yang awal menulis karangan adalah angkatan muda, katanya “sudah-sudahlah memilih lesser between two evils” sudah tiba masanya berprinsip walaupun kemenangan memakan masa. Pengikut yang cermat mungkin bersoalan, dahulu ketika ramai anak muda yang kecewa dengan hujah lesser of two evils ini, atau dalam bahasa yang lebih Islamik “mudharat yang lebih kecil”, dan anak muda ketika itu protes dengan membawa idea undi rosak, angkatan muda-lah yang menjaja idea memilih lesser evil ini di pentas-pentas forum. Mengangkat semula rangka yang sudah ditinggalkan. Hari ini mereka sudah tidak beriman dengan hujah yang mereka sendiri dahulu jaja.
Impasse ini kelihatannya belum berakhir. Realis dan idealis masih belum mencapai kata sepakat, walaupun nama mereka pakat-an. Jika orang tanya saya, antara idealis dan realis ini siapa yang akan menang?
Saya akan menjawab, Azmin Ali telah menang, kerana dia opportunis.
Related Posts
Author of several books including Berfikir Tentang Pemikiran (2018), Lalang di Lautan Ideologi (2022), Dua Sayap Ilmu (2023), Resistance Sudah Berbunga (2024), Intelektual Yang Membosankan (2024) and Homo Historikus (2024). Fathi write from his home at Sungai Petani, Kedah. He like to read, write and sleep.